Barca kena bayar RM36j kepada bekas pemain
Barcelona: Barcelona diarah membayar 7.7 juta euro (RM36.17 juta) kepada pemain tengah Brazil, Matheus Fernandes yang disingkir secara tidak adil, menurut mahkamah khas di Catalonia awal pagi tadi.
Barcelona membuat rayuan ke atas keputusan itu serta-merta.
Mahkamah bagaimanapun menolak permintaan tambahan 5 juta euro (RM23 juta) daripada pemain berusia 24 tahun itu atas alasan ‘moral dan kerosakan reputasi’.
Pemain tengah itu menyertai Barca dari Palmeiras pada jendela perpindahan hujung 2020 tetapi dipinjamkan ke Real Valladolid.
Dia tampil sekali bersama Barca sebagai pemain gantian ketika menentang Dynamo Kyiv dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara 2020.
Pada Jun 2021, tiga bulan selepas Joan Laporta kembali sebagai presiden, Barcelona mengumumkan penamatan kontrak lima tahun Fernandes.
Barca dalam pembelaaan mereka mendakwa penyingkiran pemain itu susulan prestasi buruknya.
Namun, hakim menolak dakwaan itu kerana kelab tidak memberikan ‘bukti prestasi buruk Fernandes ketika sesi latihan.”
Magistret turut berkata tiada rekod Barcelona mengarahkan pemain itu memperbaiki prestasinya sebelum memecat dia.
“Alasan sebenar penamatan kontrak Fernandes kerana ada kaitan masalah kewangan kelab,” kata hakim.
Pada Ogos 2021, Laporta mengumumkan laporan audit menunjukkan Barca berdepan hutang berjumlah 1.35 bilion euro (RM6.34 bilion).
AFP