Ronaldo bakal dibayar RM5 juta sehari
RIYADH, Arab Saudi: Cristiano Ronaldo dilaporkan bakal menggandakan gaji tahunannya dengan mempromosi bidaan Piala Dunia 2030 Arab Saudi – menjadikan pendapatannya menghampiri 1 juta pound (RM5.31 juta) sehari.
Penyerang veteran Portugal itu menandatangani kontrak bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr bulan lalu selepas disingkirkan oleh Manchester United.
Ronaldo, 37, diikat dua musim oleh Al-Nassr dengan bayaran 175 juta pound (RM929.5 juta) semusim oleh kelab Liga Pro Saudi itu.
Menurut AFP, Ronaldo akan menerima jumlah yang sama untuk tugas mempromosi bidaan negara itu bagi hak penganjuran Piala Dunia 2030.
Tidak dapat dipastikan sama ada jumlah tambahan itu untuk tempoh setahun atau sepanjang tugasan berkenaan, namun ia jumlah yang cukup lumayan selain kontraknya.
Sebarang pembabitannya dalam mempromosi Arab Saudi untuk Piala Dunia 2030 akan menyaksikan penyerang Portugal itu menyaingi bidaan negaranya sendiri.
Portugal, Sepanyol dan Ukraine turut bersaing mendapatkan hak penganjuran temasya empat tahun sekali itu.
Sepanyol pernah menjadi tuan rumah, manakala Portugal dan Ukraine masih belum berpeluang mendapatkan hak penganjuran itu.
Jurucakap Ronaldo menafikan yang pemain itu bersetuju untuk mempromosikan Piala Dunia 2030.
“Al Nassr FC ingin menjelaskan, kontrak Cristiano Ronaldo bersama Al Nassr tidak membabitkan sebarang komitmen dengan bidaan Piala Dunia. Fokus utamanya adalah terhadap Al Nassr dan bekerjasama dengan rakan sepasukan untuk membantu kelab mencapai kejayaan,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Ronaldo diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Al-Nassr minggu lalu bersama pasangannya Georgina dan anak-anak mereka, selepas terbang ke Arab Saudi dengan jet peribadi.
Ketibaan Ronaldo di Al-Nassr mendapat sokongan kerabat diraja Saudi – termasuk Mohammed Salman.
Mohammed dan adik-beradiknya adalah penyokong Al-Nassr – dan mereka mahu kelab itu lebih dikenali di peringkat global.
Ronaldo yang digantung dua perlawanan oleh Persatuan Bolasepak Inggeris, menyaksikan kemenangan 2-0 kelab baharunya ke atas Al-Ta’ee dari tempat duduk penonton, dan bakal terlepas perlawanan hujung minggu ini.
Dia dijangka akan melakukan penampilan pertamanya untuk Al-Nassr pada 22 Januari, apabila mereka menentang Ettifaq.
Bagaimanapun perlawanan sulungnya di bumi Arab Saudi bukan bersama Al-Nassr. Dia dijangka menyertai gandingan bintang Al-Nassr dan Al-Hilal menentang Paris Saint-Germain yang ditunjangi Lionel Messi dalam aksi pertunjukan di Stadium Al Fahd, Riyadh pada 19 Januari ini.
Messi, 35, menandatangani kontrak 25 juta pound (RM132.9 juta) setahun bagi mempromosi Arab Saudi pada Mei lalu.
AGENSI