‘YB dipilih perlu adil kepada semua kaum’ – Pengundi KKB

Oleh – Syeikh Baran


'YB dipilih perlu adil kepada semua kaum' - Pengundi KKB
Kuala Kubu Bharu atau dipanggil KKB oleh penduduk tempatan, terletaknya pusat pentadbiran daerah Hulu Selangor yang lengkap. Gambar kecil dari kiri: Noriah, Mala, Sukri

Pengundi Kuala Kubu Baharu berharap pemimpin yang dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan itu dapat berlaku adil kepada semua kaum.

Seorang suri rumah, S Mala, 47, berkata, jurang ekonomi antara kaum perlu dirapatkan menerusi potensi pembangunan bagi meningkatkan pendapatan rakyat Kuala Kubu Baharu.



“Pembangunan di sini semakin rancak namun perlu diseimbangkan peningkatan pendapatan susulan kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Tambahan pula di sini juga masih terdapat banyak kawasan kampung yang perlu diberikan perhatian termasuk aspek kebajikan, sosial dan infrastruktur,” katanya kepada Sinar Harian.

Kuala Kubu Baharu kini menjadi tumpuan orang politik berkampung bagi tujuan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN selama 14 hari sehingga hari pengundian yang ditetapkan pada 11 Mei ini.

Ia menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao; Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut diikuti Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainuddin dan bebas, Nyau Ke Xin.



Mala yang juga ibu kepada dua anak itu berharap, Kuala Kubu Baharu dapat terus membangun pada masa sama membantu rakyat menangani kos sara hidup.

“Kerajaan lebih tahu apa yang perlu dilakukan. Bantuan biarlah diberikan secara adil dan sama rata supaya tiada kaum tercicir dan dapat sama-sama mencapai kemajuan,” katanya.

Penyelaras Masjid dan Surau DUN Batang Kali, Sukri Mat, 55, berkata, ADUN yang dipilih kelak perlu meneruskan prestasi cemerlang yang dilakukan oleh penyandang terdahulu, Lee Kee Hiong.

“Calon perlu meningkatkan lagi usaha terutama di Batang Kali melibatkan pengundi Melayu yang tidak boleh dipinggirkan kerana merupakan sebahagian penentu kemenangan.



“Antara yang perlu diberikan penumpuan termasuk program keagamaan selain peruntukan masjid dan surau,” katanya.

Selain itu katanya, pemimpin yang dipilih kelak perlu mempunyai inisiatif masuk ke kampung bagi memberikan penerangan program dilaksanakan kerajaan negeri dan Pusat untuk membantu rakyat.

“Masyarakat Melayu ini suka didatangi untuk menerima maklumat. Ketua kampung perlu agresif untuk memberikan info kepada rakyat.

“Ketika ini banyak skim diperkenalkan kerajaan negeri namun masih ada terpinga-pinga dan tidak menerima maklumat sedangkan banyak rakyat di kawasan lain telah terima manfaat,” katanya.



Sementara itu, Noriah Asun, 40, yang mewakili masyarakat Orang Asli berharap, mereka tidak diabaikan kerana undi mereka juga boleh mempengaruhi kemenangan seseorang calon.

“Banyak kampung Orang Asli di sini antaranya Pertak, Geraci, Buloh Telor, Kolam Air dan Tun Abdul Razak jadi jangan pandang rendah undi kami kerana boleh memberikan kesan kepada kemenangan calon.

“Kehendak kami seperti infrastruktur, pembangunan kampung, jalan dan longkang serta bantuan pembaikan rumah perlu ditunaikan,” katanya.

Tambahnya, wakil rakyat perlu mempunyai sikap menepati janji dan tidak hanya datang semasa kempen tetapi menghilangkan diri selepas menang.



Sumber – SINAR HARIAN


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading