Kerajaan Sabah akan bentang RUU Anti Lompat Parti bulan depan

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah akan membentang Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mungkin diadakan pada hujung November.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pembentangan RUU itu tidak boleh diadakan sekarang memandangkan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

“Kita akan bawa atau perkenalkan dalam persidangan DUN nanti. Namun, ini bergantung kepada sokongan daripada pihak pembangkang sebab kita perlu mendapat majoriti dua pertiga,” katanya ketika ditanya tentang tarikh pembentangan RUU Anti Lompat Parti.



Beliau berkata demikian semasa Majlis Jasamu Dikenang Pesara Perkhidmatan Awan Negeri Sabah 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Menurut beliau, sokongan dua pertiga diperlukan bagi membolehkan pindaan dilakukan dalam Perlembagaan Negeri.

Di peringkat Persekutuan, RUU Anti Lompat Parti diluluskan pada 28 Julai lalu setelah mendapat sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Pada 4 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan RUU tersebut telah diwartakan pada 6 September selepas Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan terhadap pindaan perlembagaan itu pada 31 Ogos lalu.



Sebelum ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah meluluskan undang-undang untuk menghentikan budaya lompat parti di Sabah pada 1988 namun, ia diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi kerana bertentangan dengan Perlembagaan.

Amalan lompat parti di Sabah bermula sejak 1967 ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) pertama apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Payar Juman yang memenangi kerusi tersebut di bawah tiket Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (UPKO) bertindak keluar bagi menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

© Utusan Online 




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading