6 Pusat Daerah Mengundi majoriti Melayu berjaya dirampas PH

Oleh – Syeikh Baran


6 Pusat Daerah Mengundi majoriti Melayu berjaya dirampas PH
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki merakamkan setinggi-tinggi syabas dan penghargaan kepada seluruh jentera UMNO terutamanya Bahagian-bahagian Selangor termasuk jentera Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang berjaya membantu calon Kerajaan Perpaduan memperoleh kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, semalam.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, kejayaan tersebut diketuai oleh Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang telah berkampung di Pusat Daerah Mengundi (PDM) seluruh DUN Kuala Kubu Baharu bagi memastikan kemenangan calon mewakili Kerajaan Perpaduan dari Parti Pakatan Harapan.



“Hasil kerja kuat semua juga termasuk sokongan dan dokongan jentera UMNO daripada negeri-negeri juga telah memungkinkan untuk kemenangan di enam daripada lapan PDM majoriti pengundi Melayu berbanding keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas yang menyaksikan Parti Pakatan Harapan kalah di semua lapan PDM ini,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman Faceboonya hari ini.

Tambah Asyraf, kemenangan itu membuktikan bahawa pengundi Melayu sudah berubah sikap dan mula menyedari hakikat bahawa sentimen perkauman dan agama tidak boleh lagi dijadikan cagaran untuk meraih undi.

“Malah mereka mula memahami bahawa Kerajaan Perpaduan yang terbangun atas Titah Tuanku Agong ini tidak pernah sesekali meminggirkan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera, malah terus diperkasakan sebagai asas kestabilan negara berbilang kaum dan agama.

“Insya-Allah UMNO sebagai salah satu daripada 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini akan terus mempertahankan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera sebagaimana perjanjian yang dimeterai dan dipersetujui oleh semua.



“Yang penting lanskap politik baharu ini perlu diperkasakan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Semalam, Pang Sock Tao, yang bertanding atas tiket PH mewakili Kerajaan Perpaduan, menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).

Sock Tao memperoleh 14,000 undi manakala Khairul Azhari meraih 10,131 undi, Ke Xin (188) dan Hafizah (152).

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button