Dua kotak hitam, satu lagi mayat ditemui

KATHMANDU: Dua kotak hitam milik pesawat domestik Nepal, Yeti Airlines dan satu lagi mayat ditemukan di lokasi nahas semalam, menjadikan angka kematian terkini kepada 69 orang, lapor Xinhua.

“Satu lagi mayat mangsa ditemukan sekitar jam 3 petang waktu tempatan di Sungai Seti.

“Pencarian tiga lagi mangsa kini diteruskan,” kata penolong ketua pegawai daerah Kaski, Guru Datta Dhakal kepada Xinhua.



Jurucakap tentera Nepal, Brigadier Jeneral Krishna Prasad Bhandari, berkata penemuan dua kotak hitam membabitkan perakam data penerbangan dan perakam suara penerbangan itu adalah penemuan terbaru pihaknya.

Perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit pesawat ditemui beberapa jam lebih awal.

Setakat ini, sejumlah 26 mayat berjaya dikenal pasti.



Seramai 69 mangsa terkorban apabila pesawat membawa seramai 72 orang terdiri 15 warga asing terhempas di Pokhara pada Ahad lalu dalam nahas udara disifatkan terburuk sejak tiga dekad lalu di Nepal.

Nepal mengisytiharkan hari berkabung negara dan menubuhkan panel bagi menyiasat bencana itu serta mencadangkan langkah untuk mengelak insiden sedemikian berulang.

Pihak berkuasa pula berkata, mayat akan diserahkan kepada keluarga selepas pengecaman dan pemeriksaan.

Hampir 350 orang terkorban dalam nahas pesawat atau helikopter di Nepal yang mencatatkan perubahan cuaca secara tiba-tiba dan mampu menyebabkan keadaan berbahaya sejak 2000. –



AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button