Klopp janji buat perubahan di Liverpool

LONDON: Jurgen Klopp berazam akan adanya perubahan pada musim panas di Anfield – namun pemergiannya dari Liverpool bukanlah satu daripadanya.

Liverpool akan berdepan Wolves pada perlawanan semula pusingan ketiga Piala FA awal pagi esok dan aksi itu akan menjadi amat penting selepas kekalahan 3-0 di tangan Brighton – yang akan menanti pemenang pada pusingan keempat – dan digambarkan Klopp sebagai terburuk sepanjang kariernya sebagai pengurus.

Pengendali dari Jerman itu mempertahankan kritikan bahawa dia terlalu setia dengan pemain sambil menegaskan dia sentiasa mendengar mesej yang disampaikan serta mengakui Liverpool sudah hilang elemen kejutan dalam permainan mereka.



Tanpa perlu dipersoalkan, ia adalah tempoh paling mencabar sepanjang tujuh tahun dia di kelab berkenaan tetapi selera Klopp untuk membina skuad masih ada dan menyatakan dengan jelas dia tidak malu mengubah kumpulan pemain yang dianggap pengkritik sudah hilang sengat.

“Sudah tentu saya dengar bahawa saya dikatakan terlalu setia,” kata Klopp, yang dijangka tidak akan memilih Darwin Nunez bagi aksi di Molineux.

“Saya sudah mendengarnya sebelum ini dan saya tidak begitu. Saya setia – saya rasa semua orang sepatutnya setia – tapi saya tidak terlalu setia.



“Ia soalan yang bijak. Di Borussia Dortmund, adalah jelas apabila saya meninggalkan kelab itu (pada 2015) – saya katakan sesuatu perlu berubah. Ia situasi berbeza (di sini). Sama ada posisi pengurus berubah atau banyak lagi perkara lain yang berubah.

“Setakat ini, apa yang saya dengar – kecuali ada seseorang memberitahu saya (sebaliknya) – saya tidak akan pergi. Jadi ia bermakna ada perkara yang kami perlu berubah. Kami melihatnya sebagai perubahan untuk masa depan, seperti untuk musim panas atau apa sahaja. Bukan sekarang. Saya ada ruang dan masa untuk memikirkannya.

“Kami perlu bermain bola sepak yang lebih baik ketika ini. Kami tidak boleh bermain dan berkata: “Ok, ini ialah masalahnya tetapi musim depan kita tiada lagi pemain itu”. Itu adalah masa yang amat lama. Saya tidak boleh janji kami akan beraksi baik esok tetapi saya mahu berjanji bahawa kami akan bertarung sebaik mungkin dan semua orang boleh melihatnya.”

Ia akan menjadi musim panas yang penting buat Liverpool.



Klopp sudah bercakap dengan pemilik, Fenway Sports Group mengenai usaha mencari pelaburan baharu tetapi ‘tidak akan memberitahunya kepada anda’ selain perlunya membawa Pengarah Sukan baharu selepas pemergian Julian Ward.

Perubahan menyeluruh di bahagian tengah akan berlaku.

Alex Oxlade-Chamberlain dan Naby Keita akan meninggalkan pasukan apabila kontrak mereka tamat.

Perjanjian buat Roberto Firmino dan James Milner akan tamat pada Jun tetapi disebabkan Klopp sentiasa menghargai mereka, tiada siapa akan terkejut jika ia boleh disambung 12 bulan lagi.



AGENSI


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading