Anwar Ibrahim masih melankolik, retorik politik

Rakyat tidak 'kenyang' dengan ayat sastera

Oleh – Bakhtiar Omar


Melepasi 50 hari, Anwar masih melankolik, retorik politik
Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Melepasi 50 hari pentadbiran sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi bermadah melankolik dan retorik politik.

Mengimbau semula semua ceramah umum serta kempen yang dilakukan Anwar sebelum menjadi PM, segalanya kelihatan sangat menyakinkan rakyat. Namun, selepas berjaya mengenepikan gelaran ‘PM Tepi’ setelah 25 tahun, Anwar masih belum menampakkan prestasi sebenar sebagai Ketua dalam kerajaan.



Walau susunan kabinet Kerajaan Perpaduan nampak ‘gagah’, isu bekalan telur sahaja menampakkan kelemahan pengurusan Menteri yang dipertanggungjawabkan.

CERAKIN, MADANI TIDAK BANTU ‘KENYANGKAN’ RAKYAT, HANYA SEDAP DIDENGARI

Apa guna mengenalkan perkataan berbaur melankolik seperti cerakin, madani, ia tidak membantu keperluan yang diperlukan rakyat.

Alasan demi alasan kekurangan bekalan telur kini dijadikan lelucon oleh rakyat. Bayangkan, apabila seorang Timbalan Menteri memberi jawapan tidak logik apabila disoal berkaitan telur ayam.



Anwar mungkin masih terbuai dengan sanjungan ramai ketika berceramah di atas pentas politik, tetapi beliau perlu sedar, kini kerusi nombor 1 dalam kerajaan adalah kepunyaannya.

Apa sahaja tindakan atau percakapan di hadapan rakyat akan dinilaikan sebagai dasar beliau bagi memacu pentadbiran kerajaan.

Dalam hal ini, mungkin ada eloknya Anwar menoleh sebentar cara Mahathir ketika diberikan kuasa sebagai Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018.

Tanpa berlengah, Mahathir menggunakan kuasanya untuk menukar dasar yang sering dikritik beliau selepas meninggalkan kerajaan pada 2003.



Melepasi 50 hari, Anwar masih melankolik, retorik politik

Malah, musuh politik yang dianggap menjadi penghalang kepada pembentukan dasar baru menerima padah dengan cara ‘halal’.

Anwar sendiri menjadi ‘mangsa’ Mahathir apabila peralihan kuasa yang sepatutnya berlaku lebih awal dinafikan dengan penuh muslihat sehingga Anwar kehilangan orang kepercayaan sendiri.

Ini yang perlu dipelajari Anwar jika mahu dilihat sebagai seorang Perdana Menteri yang berprinsip dan tahu menggunakan kuasa dengan cara yang betul.



Lupakanlah retorik yang pernah dijanjikan kepada rakyat seperti harga petrol yang akan diturunkan selain beberapa retorik pentas ceramah.

Ini masa untuk kembalikan keyakinan rakyat kepada sebuah kerajaan yang diilhamkan YDP Agong.

Rakyat menilai secara konsisten apa tindakan kerajaan dan bukan sekadar ‘kenyang’ dengan melankolik sastera. 

Anwar Ibrahim perlu berubah dari seorang puitis kepada seorang yang ‘walk the talk’.



 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button