Gaun ikonik Puteri Diana dibida RM521,000 dalam lelongan
Set pakaian baldu sutera berwarna ungu gelap milik Puteri Diana mungkin tidak sepopular ‘persalinan balas dendam,’ namun ia masih lagi antara gaun ikonik miliknya.
Mendiang diraja itu memakai set pakaian itu untuk potret diraja rasmi pada 1991 serta penerbitan dua muka surat dalam majalah Vanity Fair pada 1997, tidak lama sebelum kematiannya.
Buat pertama kali dalam tempoh 25 tahun, pakaian itu akan dilelong dan dijangka dibida sehingga AS$120,000 (RM521,000) dalam jualan Sotheby’s di New York, hujung bulan ini.
Pakaian tanpa tali yang dihasilkan pereka fesyen, Victor Edelstein itu menampilkan rekaan berbentuk hati di bahagian dada dan skirt berbentuk bunga tulip.
Kali terakhir ia dijual pada harga AS$24,150 (RM105,000) pada 1997 ketika sesi lelongan kebajikan Christie, membabitkan 79 pakaian yang disumbang oleh Diana.
Jualan itu secara keseluruhan berjaya mengumpul AS$3.25 juta (RM14 juta), yang disumbangkan kepada pertubuhan kanser dan AIDS, termasuk Hospital Marsden Diraja, di mana beliau berkhidmat sebagai presiden selama lapan tahun.
Dalam laporan Vanity Fair, menerusi gambar bidikan Mario Testino, majalah itu memberi tumpuan pada lelongan berkenaan, dengan Diana menyifatkan keputusannya menjual pakaian itu sebagai ‘simbol kekuatan dalam perubahan hidupnya’ susulan perceraian berprofil tingginya dengan Putera Charles.
Namun, Puteri Wales itu tidak mengulas secara terperinci berhubung keputusan menjual pakaian terbabit, dan hanya menyifatkannya sebagai ‘perkara menyedihkan untuk melepaskan pakaian yang cantik itu’.
“Bagaimanapun, saya amat gembira kerana orang lain dapat berkongsi kegembiraan yang saya rasai apabila memakainya,” kata Diana kepada majalah itu.
Pakaian berwarna ungu gelap itu adalah sebahagian daripada koleksi Musim Luruh Edelstein 1989, namun Edelstein menghasilkan rekaan khas untuk Diana selama lebih 10 tahun, kata Sotheby’s.
Ia turut ditampilkan dalam satu lukisan karya Douglas Hardinge Anderson pada 1991, serta patung Franklin Mint pada 1998.
Edelstein juga bertanggungjawab mereka ‘Pakaian Travolta’ berwarna biru gelap, iaitu gaun baldu labuh yang dipakai ketia Diana menari dengan bintang filem terkemuka itu di Rumah Putih, yang dijual kepada sebuah badan kebajikan pada harga AS$347,000 (RM1.5 juta) pada 2019, selepas ia gagal terjual dalam satu lelongan.
Gaun rekaan Edelstein itu adalah antara pakaian dalam lelongan Sotheby’s dengan tema ‘The One’ pada 27 Januari depan, yang turut menampilkan beberapa koleksi terkemuka lain, termasjk tiket sambutan hari lahir bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), John F Kennedy pada 1962, di mana beliau diraikan oleh Marilyn Monroe, dan jersi Miami Heat milik LeBron James yang dipakai ketika final NBA pada 2013.
AGENSI