Pertembungan Perancis-Maghribi lakar sejarah baharu

DOHA: Selepas menjinakkan Belgium, Portugal dan Sepanyol di Qatar, Maghribi kini berdepan satu lagi gergasi Eropah, Perancis di separuh akhir Piala Dunia 2022.

Maghribi, pasukan Afrika pertama mara hingga ke kelompok empat terakhir Piala Dunia, dijangka mendapat sokongan padu di Stadium Al Bayt, Rabu ini dan kemenangan ke atas juara bertahan itu akan meneruskan perjalanan epik mereka di Qatar.

Kejayaan skuad kendalian Walid Regragui di Qatar memberikan keceriaan kepada rakyat Maghribi terutama komuniti kecil mereka di Perancis.

Pasukan dari Afrika Utara itu menjuarai peringkat kumpulan yang turut dibarisi Croatia, Belgium dan Kanada.

Maghribi kemudian menyingkirkan Sepanyol dan Portugal untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Perancis dijangka akan meneruskan corak permainan menyerangnya – ujian paling getir buat benteng Maghribi yang begitu kental sepanjang kempen di Qatar.

Mereka hanya dibolosi sekali sepanjang kejohanan kali ini – gol sendiri ketika bertemu Kanada pada peringkat kumpulan.

“Kami kini menjadi pasukan yang paling disukai di Piala Dunia kerana kami membuktikan yang anda boleh berjaya walaupun tidak mempunyai bakat dan wang yang banyak.

“Kami membuatkan rakyat dan benua kami amat gembira dan bangga. Apabila anda menonton Rocky, anda mahu menyokong Rocky Balboa dan saya rasa kami adalah Rocky di Piala Dunia.

“Saya rasa kini dunia bersama Maghribi,” kata Regragui merujuk kepada filem Rocky lakonan Sylvester Stallone.

Maghribi akan turun tanpa pertahanan utama, Nayef Aguerd (cedera hamstring) dan masih menanti status kecergasan kapten mereka, Romain Saiss.

Bentang Maghribi akan berdepan jentera serangan paling berbisa di kejohanan kali ini, Kylian Mbappe yang meledak lima gol dan Olivier Giroud (empat), serta Antoine Griezmaan yang beraksi cemerlang ketika kemenangan suku akhir ke atas England.

Pertembungan ini juga bakal menemukan rakan sepasukan Paris Saint-Germain, Mbappe dan kawan baiknya Achraf Hakimi.

Keupayaan Maghribi melakukan serangan balas menerusi gandingan Hakimi dan Hakim Ziyech di sayap kanan, akan terhad sekiranya mereka sibuk mengawal Mbappe.

“Ia memerlukan kesempurnaan di peringkat ini. Kualiti saja tidak mencukupi, tetapi skuad ini mempunyai kekuatan mental, dan sedikit pengalaman,” kata pengendali Perancis, Didier Deschamps.

Perancis kini berpeluang cerah menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan Piala Dunia selepas Brazil melakukannya 60 tahun lalu.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker