Ronaldo buat penampilan sulung Al Nassr
RIYADH: Cristiano Ronaldo memulakan kariernya di Liga Pro Saudi dengan menerajui Al Nassr untuk kemenangan 1-0 ke atas Ettifaq.
Bintang Portugal itu mengambil masa untuk menemui rentak dengan pasukan baharunya itu, yang mengharapkan pemain 37 tahun itu mampu membantu mereka memburu kejuaraan domestik serta benua.
Bagaimanapun penampilan sulung Ronaldo dalam aksi liga, tidak sehebat ketika dia menjaringkan dua gol dalam aksi persahabatan antara pilihan Riyadh menentang Paris Saint-Germain yang diterajui Lionel Messi.
Ronaldo yang memakai lilitan kapten untuk Al Nassr, tidak menyerlah di babak pertama, dua kali kehilangan bola ketika mahu menunjukkan kemahirannya, dan rakan sepasukan bergelut menhantar bola kepadanya.
Percubaan awal Ronaldo tidak menemui sasaran, dan dia hampir menanduk masuk hantaran lintang Abdulmajeed Al Sulaiheem yang kemudian dimanfaatkan oleh Anderson Talisca untuk gol minit ke-31.
Bagaimanapun laungan “Siu!” dilaungkan setiap kali Ronaldo mendapat bola, dengan harapan ia berakhir dengan jaringan dan gaya meraikan gol pemain 37 tahun itu.
AFP