Anakku ‘bayi’ 13 tahun

Kota Bharu: Usianya sudah 13 tahun, namun Nur Faliesya Mohd Fazli perlu diuruskan seperti seorang bayi akibat disahkan menghidap penyakit otak tidak berkembang (microcephaly) ketika berusia tiga bulan lagi.

Ibunya, Norlizawati Sanusi, 40, berkata, fizikal Nur Faliesya agak kurus dengan saiz kepala yang kecil dan tulang belakangnya juga seakan bengkok, malah remaja itu juga tidak mampu bersuara.

“Dalam berlapang dada dengan apa yang diberitahu doktor sekalipun, kami masih berharap keadaan kakak dapat diselamatkan dan sebab itu kami membawanya mendapatkan rawatan alternatif.



“Bagaimanapun, masih tiada keajaiban, kami akur dengan takdir Allah ini dan menerima keadaan kakak dengan reda,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Binjal Baru, Jalan PCB di sini, semalam.

Terdahulu mereka menerima kunjungan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed yang tampil menghulurkan zakat selain bertanya khabar keadaan Nur Faliesya.

Norlizawati yang juga balu berkata, dia menyara hidup mereka tiga beranak termasuk seorang lagi anak perempuan berusia sembilan tahun dengan bekerja sebagai pencanting batik tidak jauh dari rumahnya dan menerima upah sekitar RM10 sehari.

Katanya, memandangkan kerjanya itu tidak terikat dengan masa dan jarak yang dekat, memudahkannya untuk berulang-alik pulang ke rumah untuk menguruskan Nur Faliesya.



“Saya akan pulang untuk memandikan kakak sebelum memberi makan serta minum susu khas kerana tiada ahli keluarga lain yang boleh membantu manakala emak pula mengalami masalah penglihatan disebabkan saraf.

“Kakak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan dan ia digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan membeli susu khas serta lampin pakai buang kakak, namun sering kali tidak mencukupi,” katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menghubungi Norlizawati di talian 014-6450527.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button