Aguero bidas kenyatan Ibrahimovic
BUENOS AIRES: Sergio Aguero membidas kenyataan Zlatan Ibrahimovic berkenaan cara Argentina meraikan kemenangan Piala Dunia yang didakwanya sebagai melampaui batas.
Bekas penyerang Argentina berusia 34 tahun itu, mempertahankan tindakan pasukannya selepas kemenangan ke atas Perancis pada penentuan penalti di Qatar, di mana dia menjadi sebahagian daripada kem pasukan negaranya itu.
Pemain veteran AC Milan, Ibrahimovic, mendakwa cara Argentina meraikan kejayaan mereka sangat melampaui batas, dan tidak akan memenangi satu lagi gelaran dunia itu.
Aguero, bekas bintang Barcelona yang terpaksa bersara awal akibat masalah jantung pada Disember 2021, tampil membidas kenyataan bekas pemain Sweden itu.
“Perlu saya katakan apa yang saya fikir atau tidak? Zlatan. Ibrahimovic. Ibra-himovic. Sama saja, nama yang sukar, lebih baik panggil Zlatan.
“Zlatan, sebelum berkata begitu, lebih baik simpulkan yang anda mahu Perancis menang, daripada mengatakan yang orang lain bersikap buruk. Jika mereka bersikap buruk, anda perlu katakannya sebagai seorang pemain profesional di peringkat tertinggi.
“Anda pernah bermain, saya juga pernah bermain di peringkat tertinggi. Tetapi kita perlu ingat, anda juga pernah bersikap buruk ketika bermain. Betul kan?
“Untuk bercakap tentang sikap buruk, saya rasa anda paling tidak layak. Bagi saya anda silap kali ini. Tetapi itu pendapat anda.
“Bagi saya ia sesuatu yang biadap untuk mengatakan yang kami tidak akan menang lagi. Saya rasa daripada bimbangkan Argentina, lebih baik fikirkan tentang negara anda, pemain-pemain anda yang tidak berada di Piala Dunia sebelum ini.
“Messi menang. Mungkin itu membuatkan anda marah, yang Messi menang Piala Dunia dan dia adalah pemain terbaik di dunia. Ia membuat anda sakit hati melihat dia memenangi Piala Dunia bersama Argentina.
“Jika ingin bercakap buruk tentang Argentina, lihat karier anda dahulu dan nilai sama ada anda bersikap baik. Saya tidak rasa anda begitu.
“Argentina adalah juara. Kami menjulang piala. Anda hanya melihat. Pemain-pemain yang anda katakan bersikap buruk menjulang piala. Saya minta maaf,” kata Aguero.
AGENSI