Produksi gagal bayar kos rawatan, gaji Wafariena

KUALA LUMPUR: Pelakon Wafariena Roslan mendedahkan mengalami masalah haid tidak teratur akibat kesan kemalangan ketika penggambaran supertele, Mata Tak Berhijab pada Oktober lalu.

Wanita berusia 28 tahun itu serik dengan insiden itu, namun, lebih dikesalkan, pihak produksi sudah menjanjikan pelakon aksi ngeri pada hari kejadian.

Namun, Wafariena pula sebaliknya perlu melakukan sendiri aksi tercampak sehingga perutnya mengalami kekejangan akibat 12 kali mengulangi babak berkenaan.



“Saya serik dengan apa yang berlaku, apatah lagi, saya mengalami masalah haid tidak teratur selama tiga bulan selepas kejadian.

“Ia berdasarkan kepada pemeriksaan kesihatan dijalani, tetapi saya tidak boleh komen lanjut mengenainya.

“Walaupun cuba berhati-hati, tetapi apa boleh saya katakan musibah sudah berlaku,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada rakaman program Melodi Raya di Luxury Garden Hall, Cyberjaya, baru-baru ini.



Pelakon yang meledak populariti menerusi watak Nurul dalam drama 7 Hari Mencintaiku itu berkata, sehingga kini pihak produksi masih gagal menyelesaikan baki kos rawatan hospital dan separuh bayaran lakonannya.

“Walaupun sudah menuntut baki, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas.

“Jadi, saya tiada pilihan selain terpaksa membawa kes ini kemuka pengadilan. Bagaimanapun, saya belum boleh mengulas lanjut mengenainya atas nasihat peguam.

“Saya sudah membuat laporan polis dan masih menunggu tindakan selanjutnya. Sehingga kini, pihak produksi masih gagal menjelaskan baki kos rawatan hospital dan gaji saya.



“Mujur mempunyai insurans, jika tidak mungkin menambahkan beban saya,” katanya.

Oktober lalu, Wafariena dimasukkan ke sebuah hospital di Rawang selepas cedera ketika menjayakan aksi lagak ngeri untuk penggambaran supertele Mata Tak Berhijab di sebuah kawasan hutan di Lenggong, Perak.

Wafariena mendakwa mengalami kecederaan serius pada punggung dan perut, selain pendarahan apabila diminta pengarah melakukan aksi tercampak sebanyak 12 kali.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading