Komet hijau dijangka dilihat esok

London: Komet hijau yang kali terakhir dilihat kira-kira 50,000 tahun lalu dijangka membuat laluan di bumi, lapor agensi berita Jerman, PA Media.

Objek angkasa yang berasal dari awan Oort, iaitu paling luar dari Sistem Suria itu turut dikenali sebagai C/2022 E3 (ZTF).

Dilaporkan, ia akan datang paling hampir dengan bumi pada 1 Februari ini (esok) dengan jarak kira-kira 45 juta kilometer.



Kali terakhir ia melepasi planet ini ialah ketika Zaman Batu kerana bola berais ini akan mengelilingi matahari setiap 50,000 tahun.

Seorang ahli astronomi di Royal Observatory Greenwich, Dr Greg Brown berkata, ini adalah peluang seumur hidup untuk melihat kejadian berkenaan kerana komet itu kini sedang melalui sistem suria dan tidak akan kembali sekurang-kurangnya 50,000 tahun lagi.

“Komet itu akan merentasi langit kita melalui buruj Draco serta akan melalui Ursa Major dan Ursa Monor pada akhir Januari dan awal Februari,” katanya.

C/2022 E3 pertama kali dikesan pada Mac 2022, menggunakan Fasiliti Sementara Zwicky di California.



Cahaya hijaunya adalah hasil sinaran ultraungu dari matahari yang menerangi gas yang mengelilingi permukaan komet.

Cahaya C/2022 E3 menjadi sangat terang untuk dilihat dengan mata kasar di kawasan yang mempunyai cahaya yang minimum.

Tambah Brown, walaupun mungkin dapat melihatnya dengan mata kasar tanpa sebarang bantuan, namun lebih baik menggunakan teropong atau teleskop kecil.



“Paling mudah dilihat ialah kepala komet yang lebih cerah, tetapi, jika anda bernasib baik, anda mungkin melihat salah satu daripada dua ekornya terkeluar.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button