Leeds pinjam McKennie dari Juventus
London: Leeds United menandatangani pemain tengah Amerika Syarikat (AS), Weston McKennie secara pinjaman sehingga hujung musim ini dari Juventus, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, hari ini.
Pemain berusia 24 tahun itu membuat hampir 100 penampilan dalam Serie A sejak menyertai Juventus pada 2020 dan menjaringkan 13 gol serta lima bantuan jaringan.
Dia memenangi Piala Super Itali 2020 dan Coppa Italia 2021 bersama Juventus.
Dia memiliki 41 caps bersama AS dan membantu pasukan negara itu mara ke pusingan 16 terakhir di Piala Dunia Qatar 2022.
Bekas pemain Schalke 04 itu akan menyertai rakan senegaranya, Tyler Adams dan Brenden Aaronson di Leeds, yang kini dibimbing jurulatih senegara, Jesse Marsch.
Leeds turut menandatangani pemain pertahanan, Max Wober dan penyerang, Georginio Rutter pada jendela perpindahan Januari.
Mereka kini menduduki tangga ke-15 EPL dengan hanya satu mata di atas zon penyingkiran dan akan berkunjung ke Nottingham Forest, Ahad depan.
Reuters