Ambil iktibar kisah sahabat tolak rasuah kurma, takut laknat Nabi

ISU rasuah boleh disifatkan sebagai masalah sejagat tidak pernah berkesudahan, terutama apabila membabitkan pemimpin atau dalam kalangan pucuk pimpinan negara atau kerajaan.

Di negara ini, pertukaran pemimpin silih berganti, namun masalah berkaitan rasuah dan pecah amanah membabitkan pemimpin sering dilaporkan saban tahun.

Melihat laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021, Malaysia berada di kedudukan ke-62 berbanding ke-57 pada 2020. Satu situasi tidak seharusnya berlaku bagi negara Islam seperti Malaysia.



Dalam konteks semasa, kajian persepsi keberkesanan tindakan pencegahan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2020 menunjukkan tanggapan masyarakat terhadap rasuah dalam politik paling tinggi, iaitu 79.3 peratus.

Kajian SPRM dilihat selari dengan kajian Transparency International, mengenai persepsi rakyat terhadap pemimpin negara. Masyarakat dilihat bersetuju pemimpin politik paling ramai terjebak dengan rasuah.

Sukar untuk menolak hakikat itu kerana mutakhir ini masyarakat sering dihidangkan dengan isu rasuah, lebih-lebih lagi membabitkan pemimpin negara.



Misalnya, pada September 2021 Malaysia dikejutkan dengan kes rasuah pemimpin dalam organisasi kerajaan, iaitu pegawai kanan SPRM sendiri.

Dalam Islam, perbuatan rasuah dan seumpamanya dilarang sama sekali ke atas umatnya. Firman Allah SWT: “Jangan kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) antara kamu dengan jalan salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Al-Baqarah: 188)

Ayat berkenaan amat jelas Allah SWT melarang perbuatan rasuah. Ini kerana rasuah sama ada memberi atau mengambilnya adalah haram dan dicela.



Mengapa orang Islam masih terima rasuah

Meskipun al-Quran menjelaskan pengharaman kepada pemberi dan penerima rasuah, mengapa isu ini terus membelenggu pemimpin berbanding golongan lain? Adakah disebabkan kurang sifat kepemimpinan atau lebih dikuasai sifat tamak dalam diri individu terbabit?

Hakikatnya, isu ketirisan integriti dalam kalangan pucuk pimpinan perlu kepada penyelesaian secara akar umbi supaya tidak terus membarah dalam kalangan masyarakat sejagat.

Umumnya, kepemimpinan adalah aspek penting perlu diberi tumpuan bagi melahirkan pemimpin berintegriti, jujur dan amanah di sesebuah negara.



Rasulullah SAW meninggalkan dua sumber utama, al-Quran dan hadis sebagai panduan hidup Muslim. Kedua-duanya bukan sahaja penting bagi tujuan ibadah, tetapi untuk keseluruhan aspek dalam kehidupan termasuk kepemimpinan.

Rasulullah SAW sendiri pemimpin contoh bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, bahkan bukan Islam. Umum mengetahui sifat kepemimpinan Rasulullah SAW bukan sahaja masyhur dalam aspek keagamaan, juga dalam politik dan ekonomi.

Dalam kepemimpinan, terdapat pelbagai sifat Rasulullah SAW boleh diteladani termasuk integriti tinggi dalam melaksanakan amanah sebagai pemimpin.



Gelaran al-Amin bukti Nabi amanah, jujur

Sifat amanah, tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana) dimiliki Rasulullah menjadikan Baginda pemimpin yang wajar dicontohi. Sehinggakan Baginda diberi gelaran ‘al-Amin’ kerana sifat amanah dan jujur ketika memimpin negara.

Dalam pada itu, pada era kepemimpinannya, Rasulullah SAW pernah ditawarkan harta, pangkat, wanita dan kuasa oleh kaum Quraisy.

Namun, Baginda tidak pernah sama sekali menerima perkara ditawarkan. Dalam hal ini, Baginda menentang sekeras-kerasnya amalan rasuah. Sebagaimana hadis diriwayatkan Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah bahawa Sayidina Abdullah Ibnu ‘Amr RA meriwayatkan: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”



Justeru, untuk menghindari segala bentuk amalan rasuah, seseorang pemimpin perlu kembali kepada sumber utama ditinggalkan Rasulullah SAW, iaitu al-Quran dan hadis.

Berbincang lanjut mengenai isu ini, Abdullah Rawahah antara sahabat yang turut memiliki keperibadian mirip Baginda.

Abdullah masyhur tegas tolak rasuah

Ringkasnya, Abdullah tidak hanya dikenali sebagai penyair kesukaan Rasulullah, tetapi juga terkenal sebagai sahabat yang tegas dan jujur. Sifat jujur dimiliki beliau menjadi masyhur kerana begitu tegas menolak amalan rasuah.

Peristiwa ini berlaku ketika beliau diarahkan Nabi Muhammad SAW untuk mengira kurma sebagai menetapkan jizyah penduduk Yahudi di wilayah Khaibar.

Ketika itu, Abdullah ditawarkan dengan pelbagai perhiasan supaya beliau mengurangkan jumlah jizyah ke atas mereka.

Namun, beliau tegas menolak tawaran penduduk Khaibar, di samping lantang menyatakan amalan rasuah adalah haram. Justeru, ketegasan sebegini harus ada dalam diri setiap pemimpin. Bukan sewenang-wenangnya menerima suapan asal sahaja memberi keuntungan kepada diri sendiri.

Umumnya, banyak lagi sirah mengisahkan kepimpinan Rasulullah dan sahabat. Sememangnya mereka model kepemimpinan lebih pragmatik untuk diteladani.

Kepemimpinan berpaksikan syariat, tauhid dan akhlak sebagai asas utama perjuangan memanifestasikan kepemimpinan bebas daripada rasuah.

Meskipun, mereka hidup pada zaman tidak moden sebagaimana hari ini, harta dan kedudukan tidak berjaya menggelapkan mata mereka untuk terjebak dengan rasuah.

Mewah, tamak punca terima rasuah

Sebaliknya pada era kepemimpinan ini, agak menyedihkan kerana dipenuhi dengan gaya hidup serba moden dan selesa menjadikan ramai pemimpin bersikap lebih tamak tanpa menghiraukan halal dan haram.

Perlu ditegaskan, pemimpin adalah tunjang dalam sesebuah kepemimpinan. Setiap perbuatan dilakukan bukan sahaja penentu keampuhan sesebuah kepemimpinan, tetapi juga cerminan kepada pengikutnya.

Jika seseorang pemimpin berada di jalan salah, pecah amanah dan rasuah menjadi ‘makanan kehidupan’ maka tidak seharusnya masyarakat menjadikannya sebagai figura perlu dicontohi.

Dalam hal ini setiap pengikut dalam sesebuah kepemimpinan seharusnya mendalami peribahasa ‘jangan bercermin di air keruh’ dan mengambil pepatah ‘jika baik jadi teladan, jika jahat jadi sempadan.’

Penyelidik Malaysia Research and Education Foundation (MyREF)

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button