Pelakon watak asal Wednesday Addams meninggal dunia
Pelakon asal watak Wednesday Addams dalam siri TV era 1960-an, Addams Family, Lisa Loring meninggal dunia, Sabtu lalu pada usia 64 tahun.
Menurut laporan media antarabangsa, anaknya, Vanessa Foumberg mengesahkan bahawa Loring meninggal dunia akibat angin ahmar yang berpunca daripada tekanan darah tinggi.
“Pemergiannya dalam keadaan tenang dan di sisinya, dua anak perempuannya yang sentiasa menggenggam tangannya,” katanya.
Sahabatnya, Laurie Jacobson juga turut berkongsi situasi di hari-hari terakhir Loring ketika hayatnya yang bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.
“Perkongsian ini adalah satu kesedihan buat saya untuk dikongsikan. Empat hari lalu, dia diserang angin ahmar akibat kesan merokok serta tekanan darah tinggi.
“Dia bergantung kepada mesin bantuan pernafasan selama tiga hari. Semalam (Sabtu lalu), keluarganya membuat keputusan yang sangat sukar untuk menamatkannya dan dia disahkan meninggal dunia,” tulisnya di Facebook.
Terdahulu, watak Wednesday Addams lakonan Jenna Ortega dalam siri Wednesday yang ditayangkan di Netflix bermula 23 November lalu mencetus fenomena.
Penerbit juga sudah mengumumkan musim kedua siri popular itu.
Selain watak sebagai Wednesday, Loring juga pernah membintangi sitkom The Pruitts on Southampton selain muncul dalam beberapa karya antaranya The Girl From U.N.C.L.E., Fantasy Island dan Barnaby Jones.
Agensi