Arman calon Ketua Pemuda paling ‘ceria’
Mampu 'jaga' Pemuda Umno antara kriteria utama
Oleh – Amran Klebang
Siapa tidak kenal nama Arman Azha Abu Hanifah ketika menjadi salah seorang Exco Pemuda Umno? Beliau merupakan antara individu kepercayaan bekas Perdana Menteri Ke-9, Dato Sri Ismail Sabri Yaakob.
Menjelang pemilihan Umno, Arman telah menawarkan diri untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda Umno bagi menggantikan Asyraf Wajdi yang tidak mempertahankan jawatan tersebut.
Beliau membuat pengumuman tersebut pada PAU 2022 di WTC sekaligus menamatkan spekulasi mengenai hasratnya merebut jawatan tersebut.
Walau ada beberapa nama lain yang turut dikatakan berminat jawatan yang sama, Arman tetap ‘tenang’ dan menyerahkan kepada Perwakilan untuk memilih.
Beliau yang dipilih untuk diangkat sebagai Senator pada 26 Oktober 2021 merupakan Ketua Umno Bahagian Subang dan mempunyai rekod yang agak baik disebalik beberapa kontroversi yang melanda.
Difahamkan, esok Arman akan membuat perjumpaan dengan pengamal media di satu lokasi bagi menjelaskan maksud hasratnya untuk bertanding.
Selepas kekalahan BN pada 2018, lebih menjadi pemerhati politik dan membantu BN dalam siri PRK bagi menjelaskan isu-isu semasa pada ketika itu.
Beliau turut memberi sokongan penuh kepada Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi yang dilantik sebagai TPM, jadi semestinya tiada masalah berbangkit antara Arman dan Zahid Hamidi di masa akan datang.
Selain Arman, nama lain yang turut diwar-warkan akan terlibat dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia ialah Dr Akmal Saleh, Dato Indera Shahar Abdullah, Dato Onn Hafiz dan yang terbaru Mohd Hairi Md Shah.
Adakah Arman mampu menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia sekiranya menang jawatan tersebut? Jika dinilai dari segi kemampuan kewangan, tidak dinafikan beliau antara yang ‘sangat mampu’ menjaga Pemuda Umno kerana mempunyai perniagaan sendiri.
Terpulang kepada Perwakilan samada mahu memberi peluang kepada Arman atau memilih individu lain yang layak di mata mereka.