Chelsea bijak manipulasi peraturan kewangan

LONDON: Chelsea menjadikan Enzo Fernandez sebagai pemain termahal dalam sejarah bola sepak Britain menerusi perjanjian bernilai £106.8 (RM561 juta) ketika kuasa perbelanjaan Liga Perdana Inggeris (EPL) menakluk jendela perpindahan Januari 2023.

Perpindahan besar lain dimeterai pada hari terakhir jendela di Eropah semalam termasuk Joao Cancelo melakukan penerbangan mengejut ke Bayern Munich manakala Jorginho menyertai Arsenal.

Chelsea kendalian Graham Potter – kini terdampar di tangga ke-10 EPL – berbelanja sakan pada Januari, membawa masuk pemain termasuk Mykhailo Mudryk, Benoit Badiashile, Noni Madueke dan Joao Felix, yang hadir secara pinjaman dari Atletico Madrid.



Fernandez, pemenang Piala Dunia bersama Argentina, yang mana perpindahannya diumumkan oleh kelab Portugal, Benfica semalam, adalah pembelian kelapan Chelsea ketika jendela perpindahan Januari. Pemain berusia 22 tahun itu difahamkan menandatangani kontrak lapan setengah tahun.

Bayaran £106.8 juta itu mengatasi rekod terdahulu £100 juta (RM526 juta) yang dibayar oleh Manchester City kepada Aston Villa bagi membeli Jack Grealish pada 2021.

Kontrak jangka panjang Chelsea membolehkan mereka kekal dalam had perbelanjaan Financial Fair Play (FFP). Pemain sayap Ukraine, Mudryk, yang dibeli dari Shakhtar Donetsk dengan harga AS$108 juta (RM458 juta), turut diikat dengan kontrak lapan setengah tahun.



Chelsea sahaja membelanjakan lebih banyak daripada pasukan liga utama di Perancis, Sepanyol, Itali dan Jerman digabungkan kerana liga utama Eropah itu kurang berurusan pada jendela perpindahan kali ini.

Menurut laman sesawang data bola sepak Transfermarkt, kelab Inggeris membayar kira-kira AS$831 juta (kira kira RM3.5 bilion), tidak termasuk bayaran pinjaman, manakala empat liga terkemuka yang lain membelanjakan kira-kira AS$263 juta (RM1.1 bilion).

Jumlah perbelanjaan kelab Perancis adalah AS$128 juta (RM543 juta), yang mana ia kedua terbesar selepas EPL. Kelab Jerman membayar kira-kira AS$74 juta (RM314 juta) ketika Januari, pasukan Sepanyol menghabiskan AS$30 juta (RM127 juta) manakala kelab Itali AS$30.89 juta (RM131 juta).

Pendahulu EPL, Arsenal memperkukuhkan pasukan dalam usaha memburu kejuaraan pertama sejak 2004 dengan mengikat penyerang Brighton, Leandro Trossard selain melakukan kejutan apabila menyambar pemain tengah Itali dan Chelsea, Jorginho pada hari terakhir jendela.



Sekalipun dikaitkan dengan pemain tengah Brighton, Moises Caicedo, Arsenal terpaksa menunggu hingga musim panas depan untuk melengkapkan perpindahan itu.

Salah satu pembelian paling menarik pada jendela itu dilakukan oleh Bayern Munich apabila mengikat pemain pertahanan Manchester City, Cancelo pada hari terakhir perpindahan secara pinjaman bagi baki musim ini.

Minat juara liga Jerman terhadap pemain berusia 28 tahun itu hanya diketahui pada Isnin lalu, dengan perjanjian itu termasuk pilihan untuk membeli pemain antarabangsa Portugal itu dengan harga AS$76 juta (RM322 juta).



Bayern juga mendapatkan khidmat bekas pemain pertahanan Manchester United dan Ajax, Daley Blind secara percuma pada awal bulan ini.

Manchester United pula menandatangani pemain tengah Bayern Munich, Marcel Sabitzer secara pinjaman semalam.

United terpaksa memasuki pasaran perpindahan pada hari terakhir berikutan kecederaan pergelangan lali dialami Christian Eriksen, yang akan menyaksikan pemain tengah Denmark itu diketepikan sehingga awal Mei.

Terdahulu pengurus Erik ten Hag menyempurnakan pinjaman terhadap penyerang Belanda, Wout Weghorst dari Burnley awal bulan ini.



PERPINDAHAN UTAMA JANUARI

    • Enzo Fernandez – Benfica ke Chelsea: AS$131 juta
    • Jorginho – Chelsea ke Arsenal: AS$14.8 juta
    • Joao Cancelo – Manchester City ke Bayern Munich: Pinjaman
    • Marcel Sabitzer – Bayern ke Manchester United: Pinjaman
    • Mykhailo Mudryk – Shakhtar Donetsk ke Chelsea: AS$108 juta
    • Anthony Gordon – Everton ke Newcastle United: AS$55.4 juta
    • Cody Gakpo – PSV ke Liverpool: AS$45.6 juta
    • Benoit Badiashile – Monaco ke Chelsea: AS$43.1 juta
    • Georginio Rutter – Hoffenheim ke Leeds United: AS$43.5 juta
    • Noni Madueke – PSV ke Chelsea: AS$38 juta
    • Leandro Trossard – Brighton ke Arsenal: AS$33.2 juta
  • Malo Gusto – Lyon ke Chelsea: AS$32.4 juta

Nota: AS$1 = RM4.24

 




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading