‘Metal tempur’ Sil Khannaz, FTG

POPULARITI Zepp Kuala Lumpur yang menjadi lokasi tumpuan pelbagai jenis persembahan seperti konsert rock sedikitsebanyak menjentik perasaan Pengarah Urusan Rockstage Entertainment, Talib Othman untuk menganjurkan Konsert Rockstage VI di situ.

Bagaimanapun, dia terpaksa akur jadual lokasi terbabit sudah padat dengan pelbagai persembahan sepanjang tahun ini dan mengambil keputusan memilih Stadium Chin Woo Kuala Lumpur yang menjadi lokasi siri Konsert Rockstage sebelum ini.

Konsert Rockstage VI yang bertemakan Metal Tempur menggabungkan kumpulan metal ‘otai’, Sil Khannaz dan FTG.



Mereka turut disertai Langsuir, Farasu, SOG (Sekumpulan Orang Gila), Massacre Conspiracy dan Naratu yang berlangsung pada 25 Februari depan.

Talib berkata, selepas empat tahun ‘berehat’, Rockstage Entertainment kembali menganjurkan konsert yang ditunggu-tunggu peminat genre muzik keras dan berat.

“Buat julung kalinya, kami tampilkan persembahan mega membabitkan dua kumpulan gah bersama beberapa lagi band metal tempatan atas satu pentas besar. Konsert ini berlangsung seawal jam 2 petang hingga tengah malam.

“Konsert Rockstage diperkenalkan bermula pada 2017, namun terhenti sekitar 2019 berikutan pandemik Covid-19. Konsert ini juga dianjurkan sebagai pelengkap terhadap promosi album baharu kedua-dua kumpulan yang membuktikan mereka tetap aktif beraksi di tengah kebanjiran band pelapis,” katanya.



Menurutnya, FTG dan Sil Khannaz mempunyai kehebatan dan keistimewaan tersendiri, sekali gus mampu menarik peminat hadir beramai-ramai ke konsert ini.

“Mereka dikenali dengan lagu bertenaga, keras dan padu serta permainan muzik yang mantap. Pengaruh yang ada membuatkan mereka mampu menembusi pasaran ‘mainstream’.

“Konsert ini juga menjadi saksi pelancaran abum terbaharu FTG yang berjudul Army Of God dan Sil Khannaz, The Madness Of Fear. FTG bersama Rockstage bermula dengan album Kau Jangan Kurang Ajar “Kini tiba giliran Sil Khannaz untuk bernaung di bawah jenama Rockstage. Dengan harga tiket berpatutan, kami menjangkakan kehadiran 3,000 penonton menyaksikan konsert ini nanti,” katanya.



Menurutnya, setiap band akan beraksi selama satu jam 45 minit di sebelah siang dan satu jam pada sebelah malam.

Sementara itu, FTG dan Sil Khannaz masing-masing tampil dengan album yang mempunyai lapan lagu setiap satu yang dihasilkan dan diterbitkan sendiri.

Menariknya, album ini turut dijual dalam format cakera padat (CD) untuk disimpan pengumpul edisi terhad.

Dalam pada itu, FTG berterima kasih kepada Rockstage Entertainment kerana bekerjasama dengan mereka dalam penghasilan dua album.



“Insya-Allah kami akan memberikan 100 peratus komitmen demi menjayakan konsert itu nanti. Persediaan fizikal dan mental serta pemilihan lagu yang bakal dipersembahkan turut menjadi agenda utama FTG,” kata penyanyi FTG.

Sil Khannaz pula menyifatkan pentas Metal Tempur seakan-akan menguji kewibawaan mereka sebagai band metal lama yang akan menyuntik jiwa remaja kerana sebahagian lagu yang bakal dipersembahkan dipetik daripada album terbaharu

mereka nanti.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button