Penyokong Everton mula terbayang perkara buruk

LIVERPOOL: Berada di zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan sedang berperang dengan pengurusan kelab, penyokong Everton bimbang kedudukan mereka selama 69 tahun di liga utama England mungkin menemui noktah.

Sean Dyche akan mengetuai skuad Toffees buat pertama kali menentang pendahulu EPL, Arsenal malam esok.

Bekas bos Burnley itu sudah diberikan bayangan awal tugas menantinya selepas beberapa potensi pembelian gagal dilakukan pada penghujung menyebabkan Everton menjadi kelab tunggal EPL tidak menandatangani pemain pada fasa perpindahan Januari.



Salah pengurusan sejak bertahun lamanya kini mendatangkan kesan.

Hanya Manchester United, Liverpool dan Arsenal sudah menang lebih banyak gelaran England berbanding sembilan dimiliki Everton.

Namun yang terakhir hadir pada musim 1986/1987 dan kelab itu tidak menang trofi sejak 1995.

Pemiliknya, Farhad Moshiri hanya mengambil alih pada 2016, namun dia paling banyak dipersalahkan penyokong selepas prestasi merudum daripada pasukan yang bersaing untuk ke Eropah hinggalah kini bertarung mengelak penyingkiran.



Ahi perniagaan British-Iran itu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana dikatakan tidak berbelanja.

Sejak tujuh tahun lalu, Everton memghabiskan lebih £600 juta (RM3.13 bilion) membeli pemain dalam pasaran perpindahan namun tidak menyerlah.

“Penyokong bergelut untuk mengira siapa yang benar-benar berjaya di padang, ia mengejutkan,” kata David Downie dari podcast Blue Room.

“Pembabitkan peribadi Moshiri dalam menandatangani pemain, pelantikan pengarah bola sepak dan pembabitan pelik (ejen) Kia Joorabchian serta ejen lain sudah lama mendatangkan masalah.”



Antara 2018 dan 2021 sahaja, Everton melaporkan kerugian £373 juta (RM1.946 bilion).

Musim lalu mereka terlepas daripada penyingkiran selepas bangkit daripada ketinggalan 2-0 sebelum menang 3-2 berdepan Crystal Palace pada aksi terakhir musim.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button