DBKL sita 11 motosikal parkir, halang laluan pejalan kaki

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 11 motosikal yang diparkir menghalang laluan pejalan kaki berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kampung Baru, di sini, disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Tindakan sita itu diambil berdasarkan Tindakan Khas Angkut Kenderaan (Motosikal) selepas pemantauan dilakukan di Jalan Hassan Salleh di kawasan berkenaan.

“Tindakan ini dibuat berdasarkan perkongsian melalui aplikasi media sosial yang tular semalam berkaitan beberapa motosikal yang diletakkan di laluan berbumbung pejalan kaki.



“Ia mengakibatkan kesukaran orang awam, pelancong serta Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menggunakan laluan berkenaan.

“Susulan itu, sepasukan pegawai dan penguat kuasa DBKL meninjau lokasi berkenaan lewat petang semalam sebelum menyita dan mengalihkan motosikal yang diletakkan di sepanjang laluan pejalan kaki,” katanya melalui kenyataan di Facebook rasmi DBKL.

Katanya, 11 motosikal dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL di Jalan Pahang, di sini, untuk tindakan lanjut termasuk pengeluaran notis kompaun dan penyimpanan sementara.



“Tindakan diambil menerusi kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya.

Mengikut statistik antara Januari hingga Februari 2023, sejumlah 38 motosikal dibuat tindakan angkut di sekitar kawasan tumpuan tumpuan pusat bandar membabitkan halangan tempat awam dan laluan OKU.

Pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal diingatkan mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa dan memastikan kenderaan sama ada kereta atau motosikal diletakkan di tempat sepatutnya tanpa menghalang dan mengganggu pejalan kaki atau kelancaran lalu lintas.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button