Arsenal tumbang di Goodison Park
Liverpool: Sean Dyche memulakan tugasnya selaku pengurus Everton dengan bergaya apabila melakar kejutan kemenangan 1-0 ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal di Goodison Park, hari ini.
Tandukan James Tarkowski pada separuh masa kedua menyaksikan The Toffees memenangi perlawanan pertama mereka sejak Oktober tahun lalu sekali gus keluar dari zon penyingkiran.
Kekalahan itu menyaksikan Arsenal masih kekal mendahului lima mata ke atas pasukan di tempat kedua, Manchester City yang akan berkunjung ke Tottenham awal pagi Isnin.
Everton kelihatan mempamer aksi lebih kemas pada perlawanan pertama Dyche sebagai pengurus selepas menggantikan Frank Lampard dan menyukarkan Arsenal sepanjang perlawanan.
Everton malah hampir membuka jaringan pada separuh masa pertama menerusi Dominic Calvert-Lewin dan Abdoulaye Doucoure.
Tarkowski akhirnya memecah kebuntuan untuk tuan rumah pada minit ke-60 menerusi tandukan padu menewaskan penjaga gol, Aaron Ramsdale berpunca dari sepakan sudut Dwight McNeil
Pembelian saat akhir Arsenal, Jorginho yang membuat penampilan sulung bersama Gunners seminit sebelum gol Everton, tidak mampu untuk mengubah nasib pasukan barunya itu.
Dengan kemenangan itu, Everton kini berada di tangga ke-17, satu mata di atas zon penyingkiran.
Reuters