Kenyataan Neuer buat Bayern panas
Berlin: Presiden Bayern Munich, Herbert Hainer merasakan adalah ‘tidak wajar’ Manuel Neuer membuat kenyataan umum dengan mengkritik juara Bundesliga itu selepas memecat Toni Tapalovic.
Neuer menyifatkan keputusan juara Bundesliga itu untuk memecat jurulatih penjaga gol Tapalovic daripada tugasnya sebagai “perkara paling kejam yang pernah saya alami dalam karier saya”.
Kapten Bayern itu menambah bahawa pemergian mentornya ketika dia sedang menjalani rawatan pemulihan akibat insiden patah kaki yang dialaminya ketika bermain ski pada Disember lalu adalah “satu tamparan – ketika dia sudahpun jatuh”.
Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Kahn dan pengarah sukan Hasan Salihamidzic menjelaskan bahawa mereka tidak peduli dengan komen pemain antarabangsa Jerman itu.
Hainer turut mengkritik Neuer yang sudah lama berkhidmat untuk kelab itu.
“Tidak dapat difahami dan ia mengecewakan kami apabila Manuel terus membuat kenyataan tanpa berjumpa kami untuk berbincang,” katanya.
“Saya lebih kecewa daripada marah kerana saya menyangka Manuel yang sudah lama bersama kami sejak sekian lama – mendapat penuh kepercayaan daripada kami tetapi tidak datang bertemu kami terlebih dahulu untuk membincangkannya.
“Saya menyokong seratus peratus apa yang Oliver Kahn dan Hasan Salihamidzic katakan.”
Hainer bagaimanapun menolak untuk menamatkan kontrak Neuer, tetapi terdapat keraguan sama ada dia akan mengekalkan jawatan sebagai kapten.
“Kami akan duduk bersamanya dan berbincang segala-galanya dengan tenang dan profesional,” kata Hainer.
“Perkara yang paling penting sekarang ialah Manuel kembali sihat dan boleh bermain. Dan kemudian kita lihat bagaimana seterusnya.”
Agensi