Mak ‘sempoi’ tunggang Yamaha RXZ

Teluk Intan: “Mak memang sudah biasa tunggang motosikal ada klac dan ketika bawa Yamaha RXZ, dia saja ‘rem’ (pulas minyak) di depan rumah jiran yang juga adik ipar mak untuk bergurau,” kata Mohd Danial Mohd Azamhuri, 22.

Video ibu Mohd Danial, Siti Faiza Mohd Shafie, 53, menunggang Yamaha RXZ sambil memulas minyak di hadapan rumah jirannya tular di media sosial dan menarik perhatian warganet, baru-baru ini.

Berkongsi kisah itu, Mohd Danial yang juga mekanik sambilan berkata, motosikal berkenaan adalah kepunyaan rakannya dan ketika kejadian, Siti Faiza sekadar mahu cuba menunggang selepas dibaiki.



Katanya, ibunya meronda di kawasan kampung dan di jalan raya berhampiran sebelum pulang ke rumah, malah turut mendapat keizinan pemilik motosikal itu.

“Saya cuma baiki motosikal rakan saja dan itu yang saya minta mak bawa untuk ronda petang kerana mak sudah biasa tunggang motosikal ada klac, malah dia ada Yamaha Y15.

“Saya juga ada RXZ dan mak pernah juga sesekali tunggang motosikal saya, sebab itu mak nampak tidak kekok tunggang motosikal ada klac,” katanya yang bekerja kilang di Tanjung Malim.



Katanya, ibunya lebih suka menunggang motosikal berbanding memandu kereta, kecuali keadaan tertentu seperti hujan.

“Mak suka motor yang ada ‘pickup’ dan sebab itu saya cadang dia beli Y15 terpakai. Mak selalu sokong minat saya terhadap motosikal, malah dia tidak pernah larang saya sertai konvoi motosikal asalkan jaga keselamatan dan tidak tinggal solat.

“Saya teringin bawa mak ikut pergi konvoi sekali tetapi belum ada kesempatan lagi. Setakat ini juga ayah tak bising mak tunggang motosikal,” katanya yang memberitahu keluarganya tinggal di Sungai Durian, di sini.

Berhubung video TikToknya, Mohd Danial berkata, dia merakam video ibunya menunggang motosikal itu dan dimuat naik ke aplikasi berkenaan untuk kenangan bersama ibu.



“Banyak komen positif yang kami terima dan ada cakap mak sempoi, rare sebab tunggang RXZ, ngam (rapat) dengan anak dan menyokong minat anak,” katanya.

Sementara itu, Siti Faiza berkata, dia tidak melihat usia dan jantina sebagai penghalang untuk menunggang motosikal biarpun RXZ dan mengakui dirinya juga tidak kisah dengan cakap orang sekeliling.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia tidak menyangka videonya menunggang motosikal akan tular dan mendapat perhatian ramai.

“Saya memang suka motosikal yang ‘pick up’ dan tidak kekok menunggang. Alhamdulillah, setakat ini tiada komen yang teruk, yang positif lebih banyak daripada negatif,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button