Aiman, Syarah nikah April depan

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Aiman Tino, 25, mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Syarah Haifa, 24, pada April depan.

Bagaimanapun, kata Aiman, persiapan sudah mula dilakukan, cuma tarikh perkahwinan masih belum diputuskan.

“Buat masa sekarang, tarikh nikah sahaja belum diputuskan. Tetapi, ada kemungkinan kami akan bernikah dahulu sama ada sebelum atau selepas Ramadan ini.



“Majlis resepsi pula hanya akan diadakan pada Jun atau Ogos depan. Kami memilih bernikah dahulu kerana saya mahu melakukan perkara yang wajib.

“Kami mahu menghalalkan hubungan memandangkan sudah selesa bersama. Saya sering bersama Syarah ke mana sahaja memandangkan rakan sekerja.

“Syarah ikut saya dan membimbing kerja saya. Jadi, lebih baik kami tidak buang buang masa dan bernikah dahulu,” katanya kepada BH Online.



Aiman ditemui pada sidang media filem Tonton Original berjudul Irama Kita di sebuah pusat beli belah, di sini, pagi tadi.

Mengulas keputusannya untuk bernikah pada usia muda, Aiman berkata, ibu bapanya juga bernikah pada muda, jadi tak salah dirinya mengikut jejak orang tua.

“Kalau diikutkan ibu bapa berkahwin pada usia 23 tahun, tetapi sekarang saya sudah 25 tahun. Sebenarnya tiada tekanan mahu berkahwin, cuma saya rasa usia ini sudah untuk membina rumah tangga.

“Saya rasa 25 tahun sesuai untuk berkahwin, jadi saya enggan buang masa dan menghalalkan hubungan cinta,” katanya.



Aiman menyifatkan Syarah sebagai gadis lemah-lembut dan sifat itu berjaya menambat hatinya sejak mengenalinya pada 2019.

“Kami kenal sejak tiga tahun lalu. Kami juga dalam aliran sama iaitu Syarah terbabit dalam aliran perfileman kerana bekas pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Jadi, kami kenal dari situ dan buat bisnes bersama.

“Pada 2020, kami keluarkan produk bersama. Apabila sudah selesa, kami mula cari apa sebenarnya diingini.



“Jadi, kami mula serius dan buat keputusan bersama, tahun lalu.

“Syarah seorang yang ayu dan lemah-lembut. Sememangnya, ciri itulah yang saya suka.

“Insya-Allah, hidup saya lebih teratur dan akan cuba menjadi insan lebih baik untuk Syarah,” katanya.

Terdahulu, ibu kepada Aiman iaitu Hazelina Mat Jalil mengesahkan mereka sudah menghantar rombongan merisik di rumah keluarga Syarah pada 21 Januari lalu.



Kata Hazelina, Aiman dan Syarah berkenalan ketika menjalankan perniagaan pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berita gembira itu dikongsi oleh abang Syarah, Farish Isa yang memuat naik beberapa hantaran video dalam Instagram miliknya.

Menerusi perkongsian Farish, Hazelina dilihat menyarung cincin di jari manis Syarah sebagai tanda menyunting wanita pilihan anaknya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button