Sekolah di Pekan ditenggelami banjir

PEKAN: Hujan lebat berterusan menyebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, di sini, ditenggelami banjir dan sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan sejak semalam, untuk keselamatan murid.

Kejadian itu menyusul selepas tiga lagi sekolah membabitkan SK Seri Terentang, SK Kampung Acheh serta SK Tanjung Medang turut dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat berterusan lebih 24 jam di daerah ini, kelmarin, sebelum air surut dan sesi persekolahan disambung semula, semalam.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar, berkata SK Temai dinaiki air melimpah dari Sungai Pahang yang terletak hanya beberapa meter darinya, justeru sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan hingga keadaan pulih.

Katanya, SK Temai memang sudah tidak asing dengan masalah banjir apabila hampir setiap tahun menghadapi bencana itu apabila tiba Monsun Timur Laut.

Malah, beliau memaklumkan, sekolah itu pernah berdepan banjir termenung selama beberapa minggu sehingga menyebabkan air terpaksa disedut menggunakan pam dengan bantuan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Pekan.

“Kedudukan SK Temai yang hampir dengan Sungai Pahang menjadi antara faktor banjir mudah berlaku pada setiap musim tengkujuh di negeri ini.

“Terdapat 13 sekolah di daerah ini dikenal pasti sering ditenggelami banjir setiap kali tiba Monsun Timur Laut. Ia membabitkan 11 sekolah rendah dan dua menengah yang terletak berhampiran Sungai Pahang,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Apabila air surut, Mohd Razali berkata, sekolah terbabit akan mengadakan program gotong-royong kerja pembersihan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), beberapa agensi lain serta penduduk setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata, empat sekolah di daerah ini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya, SK Seri Terentang, SK Tanah Putih dan SK Sri Maulana.

Bagaimanapun, katanya, difahamkan semua sekolah yang dijadikan PPS sudah ditutup sepenuhnya berikutan banjir di kawasan terbabit kini semakin pulih.

“Sebanyak 32 sekolah di daerah ini disediakan sebagai PPS yang mampu menempatkan antara 100 hingga 800 mangsa banjir dalam satu masa.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan terbabit menguruskan mangsa banjir di PPS bagi memastikan mereka berada dalam keadaan selesa dan memuaskan.

“Malah, SK Merchong Jaya dijadikan pangkalan hadapan bagi menempatkan barangan keperluan musim banjir, yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pekan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker