Harapan temui mangsa selamat kian pudar
Gaziantep, Turkiye: Dengan harapan semakin tipis untuk menemui mangsa, pasukan penyelamat di Turkiye dan Syria mencari tanda-tanda jika ada individu masih hidup di bawah runtuhan bangunan susulan gempa bumi paling dahsyat sejak lebih sedekad lalu.
Angka kematian yang disahkan sehingga pagi ini sudah menghampiri 12,000 orang.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, angka kematian di negara itu melepasi 9,000 orang. Kementerian Kesihatan Syria pula mendedahkan jumlah korban di kawasan dikuasai kerajaan di negara itu pula sudah melepasi 1,200. Selain itu, lebih 1,600 mangsa maut di kawasan dikuasai pemberontak di barat laut Syria.
Ia menjadikan jumlah kematian kepada 12,0000. Selain itu, puluhan ribu dilaporkan cedera.
Erdogan yang melawat wilayah paling terjejas akibat bencana itu iaitu Hatay, di mana lebih 3,000 orang meninggal dunia dan hampir semua kejiranan musnah.
Penduduk mengkritik kerajaan kerana tindak balas yang mereka katakan perlahan.
Erdogan, mengakui ‘kelemahan’ itu tetapi menjelaskan bahawa cuaca musim sejuk menjadi salah satu faktor.
Selain itu, gempa bumi itu merosakkan landasan di lapangan terbang di Hatay, dan ia menjejaskan lagi usaha tindak balas.
Ketika ini, pasukan penyelamat dari lebih 24 negara menyertai kerja mencari dan menyelamat di Syria dan Turkiye.
Namun, skala kemusnahan akibat bencana itu terlalu besar dan gempa susulan yang meliputi kawasan yang luas termasuk wilayah yang bergolak di Syria – menyebabkan ramai mangsa masih menunggu bantuan.
Pakar berkata, mangsa masih di bawah runtuhan atau mereka yang tidak menerima bantuan asas mungkin tidak dapat bertahan lama. Namun, mereka tidak mahu cepat putus asa.
Pasukan penyelamat menggunakan jengkaut untuk membersihkan runtuhan. Namun dengan ribuan bangunan yang runtuh, tidak pasti jumlah mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan.
Di bandar Malatya, Turkiye, mayat diletakkan di atas tanah dan ditutup dengan selimut ketika penyelamat menunggu kenderaan untuk membawa jenazah, menurut bekas wartawan Ozel Pikal yang melihat lapan mayat dikeluarkan dari bangunan.
Pikal yang menyertai usaha menyelamat berkata, dia berkata, sekurang-kurangnya beberapa mangsa mati dalam keadaan sejuk apabila suhu mencecah -6 darjah Celsius.
“Setakat hari ini, tiada harapan di Malatya,” kata Pikal menerusi panggilan telefon. “Tiada mangsa yang dikeluarkan dari runtuhan, dalam keadaan selamat.”
Penutupan jalan dan kerosakan juga menyebabkan sukar untuk mengakses kawasan yang memerlukan bantuan, katanya.
“Tangan kita tidak boleh memegang apa pun kerana sejuk,” kata Pikal. “Mesin diperlukan.”
AF