Ten Hag ‘tidak boleh terima’ seri berdepan Leeds

MANCHESTER, United Kingdom: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mengkritik permulaan yang “tidak boleh diterima” daripada skuadnya yang seri 2-2 berdepan pasukan tanpa pengurus, Leeds walaupun bangkit daripada ketinggalan 2-0 awal pagi tadi.

Leeds memecat Jesse Marsch pada Isnin selepas melalui tujuh aksi tanpa kemenangan.

Pengurus sementara, Michael Skubala hanya ada 20 minit sesi latihan untuk bersedia bagi perlawanan itu tetapi hampir memastikan kemenangan pertama berdepan United sejak 2010.



Wilfried Gnonto memberikan Leeds permulaan sempurna selepas hanya seminit dan gol sendiri Raphael Varane menggandakan kelebihan mereka pada awal babak kedua.

Gol ke-20 Marcus Rashford musim ini mencetuskan kebangkitan United sebelum gol pertama Jadon Sancho sejak September melebarkan rentetan tanpa kalah Red Devils di laman sendiri kepada 16 perlawanan.

“Anda boleh kata kami menang satu mata kerana apabila anda berdepan tetangga dan bangkit selepas ketinggalan 2-0 ia adalah bagus,” kata Ten Hag selepas perlawanan pertama daripada dua saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam lima hari antara kedua-dua pasukan.



“Tapi dalam aspek lain, apabila anda memulakan aksi menentang jiran seperti yang kami lakukan, ia tidak boleh diterima. Anda perlu bersedia untuk bertarung dan kami tidak melakukannya.”

Satu mata menyebabkan United yang masih di kedudukan ketiga, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Arsenal walaupun bermain lebih dua perlawanan.

Keputusan seri amat penting buat Leeds, yang kini satu mata di atas zon penyingkiran.

United amat merasai kehilangan Casemiro di bahagian tengah akibat penggantungan yang memberikan peluang Leeds melakukan serangan balas pantas.



Gnonto konsisten memberikan ancaman buat Leeds dan hanya memerlukan 60 saat apabila menemui gawang buat jaringan keempat dalam tujuh aksi.

United sepatutnya boleh menyamakan kedudukan sebeum tamat babak pertama apabila sepakan Alejandro Garnacho diselamatkan di atas garisan gol oleh Max Woeber selepas pemain Argentina itu mengatasi Illan Meslier.

Bagaimanapun skuad tuan rumah yang perlahan pada permulaan babak kedua terus dihukum lawan.

“Saya rasa ia memberikan rasa percaya dalam kalangan pemain bahawa mereka cukup bagus pada tahap ini,” kata Skubala, yang masih belum pasti sama ada dia akan terus mengetuai kelab itu untuk kunjungan ke Elland Road pada Ahad.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button