Harga minyak naik empat hari berturut-turut

SINGAPURA: Harga minyak meningkat hari ini, meneruskan kenaikan selama empat hari berturut-turut, apabila gangguan muatan minyak mentah di Turkiye dan keyakinan terhadap pemulihan permintaan dari China terus mengukuhkan sentimen.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 14 cents, atau 0.2 peratus kepada AS$85.26 satu tong, manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) mengukuh 11 cents, atau 0.2 peratus lebih tinggi kepada AS$78.58 satu tong.

Kedua-dua penanda aras meningkat lebih daripada enam peratus setakat minggu ini.



BP Azerbaijan mengisytiharkan ‘force majeure’ ke atas penghantaran minyak mentah Azeri dari pelabuhan Ceyhan di Turkiye pada 7 Februari lalu selepas gempa bumi besar melanda Turkiye dan Syria pada Isnin.

Bencana itu menghentikan operasi di Ceyhan serta mengganggu aliran minyak mentah dari Iraq dan Azerbaijan.

Harapan pemulihan pantas permintaan dari China turut menyokong harga minyak, apabila pengguna minyak kedua terbesar dunia itu mengakhiri dasar sifar COVID-19 yang ketat selama lebih tiga tahun membabitkan sekatan pergerakan seluruh bandar dan ujian besar-besaran pada Disember lalu.

“Kami terus menjangkakan sekatan berhubung konflik Ukraine-Russia, dan pembukaan semula China akan menjadi pemacu harga utama dalam 12 bulan akan datang, di mana kenaikan harga minyak dilihat berkemungkinan berlaku sehingga separuh kedua 2023,” kata penganalisis NAB Commodities Research dalam satu nota.



Bagaimanapun, peningkatan inventori minyak mentah di AS memberikan tekanan terhadap kenaikan harga minyak.

Stok meningkat minggu lalu ke paras tertinggi sejak Jun 2021 kepada 455.1 juta tong.

Reuters



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button