Ekonomi Malaysia berkembang 8.7 peratus, terbaik di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan paling tinggi dalam tempoh 22 tahun sejak 2000 apabila berkembang pantas 8.7 peratus pada 2022, sekali gus pencapaian terbaik dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Pada suku terakhir 2022, ekonomi negara berkembang 7.0 peratus dipacu oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, sekali gus menyokong pertumbuhan bagi keseluruhan tahun lalu mengatasi unjuran awal sekitar 6.5 peratus hingga 7.0 peratus.

Ekonomi Malaysia meneruskan momentum pertumbuhan kukuh yang dicatatkan pada hujung 2021, dengan berkembang 5.0 peratus pada suku pertama 2022.



Momentum positif itu berterusan dengan memperlihatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang di luar jangkaan sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua dan terus berkembang pantas 14.2 peratus pada suku ketiga 2022, pertumbuhan terbaik di Asia Tenggara.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata prestasi memberangsangkan ekonomi negara pada tahun lalu disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan utuh pasaran kerja dan permintaan kukuh bagi elektrik dan elektronik (E&E) serta pemulihan aktiviti perlancongan.

Beliau berkata, pengembangan berterusan dalam pekerjaan pula mendorong pengurangan kadar pengangguran.

“Pada suku keempat 2022, ekonomi Malaysia berkembang 7.0 peratus dipacu oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik dan permintaan kukuh bagi barangan E&E.



“Bagi 2022, ekonomi berkembang sebanyak 8.7 peratus,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2022 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Nor Shamsiah berkata, aktiviti sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta.

Beliau berkata, penggunaan swasta terus meningkat didorong terutamanya oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik.



Katanya, prestasi suku keempat 2022 itu dijangka akan memberikan sokongan kepada prestasi ekonomi Malaysia pada suku pertama 2023.

“Pertumbuhan suku pertama 2023 dijangka akan lebih baik daripada suku keempat 2022,” katanya.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button