Inflasi di Malaysia dijangka kekal tinggi tahun ini

KUALA LUMPUR: Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana tetapi kekal tinggi pada 2023 dalam keadaan tekanan kos dan permintaan yang berlarutan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata dalam jangka masa terdekat, inflasi teras dijangka kekal tinggi sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada separuh pertama 2022.

Beliau bagaimanapun berkata, kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada akan terus membendung sebahagian daripada tahap tekanan inflasi yang meningkat.



“Prospek inflasi kekal sangat bergantung pada sebarang perubahan dasar dalam negeri serta perkembangan harga komoditi global,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2022 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Nor Shamsiah berkata, pada suku keempat 2022, inflasi keseluruhan adalah sederhana kepada 3.9 peratus berbanding 4.5 peratus pada suku sebelumnya.

Beliau berkata, penurunan yang sederhana ini sebahagian besarnya disebabkan oleh luputnya kesan asas inflasi elektrik iaitu penyumbang utama kepada inflasi yang lebih tinggi pada suku ketiga 2021.



Katanya, trend penurunan dalam harga komoditi utama global sebahagiannya menyebabkan inflasi yang lebih rendah dalam beberapa barangan Indeks Harga Pengguna (IHP) termasuk bahan api.

“Inflasi beberapa bahan makanan ruji utama, seperti daging segar dan telur juga menjadi sederhana pada suku berkenaan.

“Walaubagaimanapun, kesan penurunan daripada faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi teras yang lebih tinggi,” katanya.

Inflasi teras meningkat kepada 4.2 peratus pada suku keempat 2022, didorong oleh permintaan yang terus kukuh dalam keadaan persekitaran kos yang masih tinggi.



Bagi keseluruhan tahun 2022, inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada 2021 dan purata inflasi teras lebih tinggi pada 3.0 peratus berbanding 0.7 peratus pada 2021.

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading