Pengantin dirasuk ‘tuan puteri’, menari atas pelamin

Oleh – Syeikh Baran


Pengantin dirasuk ‘tuan puteri’, menari atas pelamin
Pasangan pengantin sedang bergambar dengan tetamu sebelum pengantin perempuan mula menari. – TikTok

Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi seorang pengantin perempuan yang dirasuk ketika majlis perkahwinannya, menyaksikan dia menari tarian tradisional sambil berdiri di atas pelamin, lapor portal berita Wolipop kelmarin.

Video mengenainya dimuat naik di platform TikTok @mm_yuvita.



Ia memaparkan sepasang pengantin sedang bergambar dengan tetamu jemputan sebelum pengantin perempuan tiba-tiba meliukkan tangannya dan menari.

Dia kemudian membuat aksi tarian klasik sambil tersenyum dengan lirik mata menjeling ke arah orang ramai.

Beberapa orang dipercayai ahli keluarga pengantin panik melihat perubahan sikap wanita itu yang kemudian pengsan.

Menurut individu yang memuat naik video tersebut dikenali sebagai Fitriah, kejadian berlaku pada 23 April lalu di Lalangan, wilayah Kalimantan Selatan, manakala pengantin perempuan ialah anak saudaranya.



Kata Fitriah,  pasangan pengantin berkenaan berkahwin mengikut adat masyarakat Banjar.

“Ketika pengantin sedang bergambar, tiba-tiba tangannya bergerak dan mahu menari.

“Katanya, ‘tuan puteri’ berada di dalam badannya dan dia mahu digendong mengikut adat Banjar melalui upacara bausung,” ujar Fitriah.

Tambah Fitriah, pengantin Banjar kerap dirasuk sambil menari.



“Mereka dirasuk ketika majlis bermula hingga acara selesai. Memang adat Banjar sering terjadi insiden seperti ini,” katanya. – AGENSI 

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button