Kepulangan sukar Conte ke Milan
LONDON: Selepas Tottenham dibelasah di Leicester, masa depan Antonio Conte tampak semakin tidak menentu ketika mereka akan menentang kelab Itali, AC Milan dalam Liga Juara-Juara awal pagi Rabu ini.
Conte akan kembali ke Itali dalam aksi pertama kelompok 16 terakhir hanya dua minggu selepas menjalani pembedahan hempedu di tanah airnya sendiri dan kepulangannya jelas tidak selesa seperti sebelumnya.
Bos Tottenham jelas semakin tidak selesa musim ini dengan kontraknya akan tamat pada penamat kempen dan tidak mengejutkan jika dia mengambil keputusan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu pada Mei.
Conte menyatakan dia tidak gembira dengan perjanjian perpindahan di Tottenham dan berkali-kali berkata dia percaya adalah sesuatu yang tidak realistik untuk membandingkan kelab itu dengan pencabar EPL lain yang berbelanja besar.
Tottenham masih menanti trofi pertama sejak 2008 dan persembahan tidak menentu di bawah kendalian Conte tidak meyakinkan penyokong mereka bahawa pengendali itu mampu menamatkan kemarau berkenaan.
Persembahan buruk Tottenham hadir ketika tewas 4-1 di Leicester ketika Conte kembali selepas pembedahan.
Ia minggu menyakitkan buat Tottenham sejak Harry Kane bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab selepas menang mengatasi Manchester City, perlawanan yang tidak dihadiri Conte ketika menjalani rawatan.
Mereka juga berdepan kecederaan penjaga gol Perancis, Hugo Lloris yang tidak akan beraksi buat Tottenham selama enam minggu selain masalah dihadapi Yves Bissouma, Ryan Sessegnon dan Rodrigo Bentancur dalam tempoh tujuh hari sebelum ini.
“Pasukan ini perlu mengubah sesuatu. Bukan mengenai individu. Ia mengenai keinginan,” kata penolong pengurus, Cristian Stellini.
“Ia bukanlah satu penerangan kerana anda tahu apa yang terjadi, anda boleh mengubahnya. Ia juga berlaku musim lalu apabila kami menewaskan Manchester City, kemudian kalah kepada Burnley.
“Konsisten ialah proses yang lama, proses mental. Anda perlu lebih baik secara mental, lebih baik dalam pendekatan.”
AFP