Yana Najib bakal bertanding Exco Puteri Umno
Johor Bahru: Anak Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa bakal bertanding jawatan Exco Puteri Umno pada pemilihan parti yang diadakan tidak lama lagi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memaklumkan perkara itu menerusi hantaran di Facebook, semalam.
“Hari ini, Yana Najib (Nooryana Najwa) datang berkunjung ke pejabat saya, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit di Taman Rengit.
“Beliau datang dengan Dr Masliha Harun, calon Ketua Puteri Umno. Yana pula akan bertanding Exco Puteri Umno. Selamat maju jaya,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Nooryana yang juga ahli Umno Lembah Pantai, dilapor aktif membantu parti berkempen antaranya, di Perlis, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Johor.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lagi anak Najib yang juga bekas Presiden Umno, Datuk Mohd Nazifuddin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda Umno.
Mohd Nazifuddin yang juga ahli Umno Bahagian Langkawi memberitahu mahu membantu Pemuda Umno menarik golongan muda supaya dapat bersama-sama memperkukuhkan perjuangan parti.
METRO