AlphaTauri tidak ragui kemampuan Tsunoda
New York: AlphaTauri mempamerkan jentera baharu Formula Satu (F1) dengan mereka menyatakan tidak meragui kemampuan pemandu Jepun, Yuki Tsunoda untuk menyinar musim ini.
Tsunoda akan memulakan tahun ketiganya dengan pasukan yang berpangkalan di Itali, yang pelancarannya diadakan di Pusat Lincoln New York bersempena Minggu Fesyen.
“Tahun lalu, Yuki bergelut dengan jenteranya. Tahun ini, seperti yang kami jangkakan kami akan memiliki jentera lebih kompetitif.
“Yuki mesti sentiasa meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan terbaik di Kelayakan Ketiga dan menamatkan perlumbaan dengan meraih mata.
“Dia seorang pemandu yang sangat berkemahiran tinggi dan kini mempunyai banyak pengalaman dengan sudah dua musim beraksi di F1.
“Atas sebab ini, sudah tentu, dia perlu meraih lebih banyak mata berbanding tahun lalu,” kata bos AlphaTauri,Franz Tost.
Tsunoda meraih 12 mata daripada 22 perlumbaan, manakala rakan sepasukannya dari Perancis, Pierre Gasly memungut 23 mata.
Pada 2021 Tsunoda berjaya menyumbang 32 mata, manakala Gasly 110 mata.
Reuters