Sembilan ditahan, gaduh hingga sebabkan kematian

Kuala Lumpur: Sembilan lelaki warga tempatan ditahan disyaki terbabit dalam pergaduhan berkumpulan hingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Bangsar Village, Jalan Telawi 2 Bangsar, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata kesemua suspek terbabit berumur antara 24 hingga 30 tahun dengan motif kejadian dipercayai kerana wujud dendam lama antara mangsa dan suspek.

Beliau berkata mangsa seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun bersama rakannya seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun telah ke Jalan Telawi untuk minum.



“Setelah selesai minum dan dalam perjalanan ke tempat letak kenderaan, mangsa dan rakannya telah terjumpa dengan kumpulan suspek dan berlaku pergaduhan.

“Mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan meninggal dunia semasa menerima rawatan manakala rakannya dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan telah mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” kata Amihizam dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata polis merampas senjata digunakan oleh suspek iaitu sebilah pisau dan sebotol arak.

“Arahan untuk menuduh telah dikeluarkan ke atas tiga orang suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan manakala enam lagi suspek tangkapan tersebut dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button