Benzema kini penjaring kedua terbanyak La Liga
Madrid: Karim Benzema mengatasi rekod Raul sebagai penjaring gol kedua terbanyak Real Madrid untuk membantu pasukan itu melakar kemenangan 4-0 menewaskan Elche dalam saingan La Liga.
Benzema meledak 229 gol di La Liga daripada 428 penampilan dalam pertandingan itu, ketika dia menyempurnakan sepakan penalti untuk membantu pasukan Carlo Ancelotti mendahului 2-0 menentang Elche.
Gol hebat Marcos Asensio memberikan Los Blancos pendahuluan awal di Santiago Bernabeu dengan Benzema menggandakan kelebihan mereka selepas 30 minit menerusi sepakan penalti.
Benzema kemudiannya menjaringkan gol La Liga ke-230 sebelum separuh masa apabila sekali lagi berjaya menyempurnakan sepakan penalti keduanya dalam perlawanan itu sebelum Luka Modric mengesahkan kemenangan Madrid 4-0.
Raul sebelum ini turun dalam 550 perlawanan dan menjaringkan 228 gol La Liga dan itu menyaksikan Benzema berjaya memintasnya ketika dia beraksi kurang 122 perlawanan.
Bagaimanapun Cristiano Ronaldo masih kekal sebagai penjaring terbanyak Madrid setakat ini mengatasi Benzema dengan 311 gol dari 292 penampilan di La Liga.
Benzema sudah pun menjadi penjaring gol kedua terbanyak Madrid dalam semua pertandingan mengatasi Raul tahun lalu.
Carlo Ancelotti memuji aksi ‘sempurna’ Benzema yang menjadi penjaring kedua terbanyak kelab sepanjang zaman.
“Karim bukan sekadar penyerang,” kata pengendali Itali itu.
“Dia sangat lengkap, dia bergabung dengan baik – hari ini terutamanya dengan Rodrygo. Dia sentiasa bersedia di kawasan dan banyak membantu kami dalam penguasaan bola.
“Kariernya hebat dan harap dia boleh teruskan. Real Madrid mahukan dia pada tahap ini.
METRO