Benfica sebelah kaki di suku akhir

BRUGES, Belgium: Benfica menghampiri tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara musim ini selepas menang selesa 2-0 mengatasi Club Brugge di Belgium pada pusingan oertama kelompok 16 terakhir awal pagi tadi.

Kedua-dua gol hadir pada babak kedua di Jan Breydelstadion, dengan Joao Mario membuka jaringan hasil penalti enam minit selepas bermula babak kedua dan pemain gantian David Neres menambah jurang antara kedua-dua pasukan tidak lama kemudian.

Pendahulu Liga Portugal itu yang tewas kepada Liverpool pada kelompok lapan terakhir musim lalu, dijangka akan melengkapkan tugasan apabila kedua-dua kelab kembali bertemu di Lisbon pada pusingan kedua 7 Mac ini.



“Apabila anda bermain pusingan pertama di tempat lawan dalam Liga Juara-Juara dan menang, ia adalah langkah yang bagus. Kami sudah separuh jalan ke sana,” kata jurulatih Benfica, Roger Schmidt kepada Eleven Sports.

Skuad Schmidt hanya tewas sekali dalam liga domestik pada kempen kali ini dan mendahului kumpulan Liga Juara-Juara di depan Paris Saint-Germain serta Juventus.

Mereka tampak tidak terjejas teruk dengan kehilangan bintang tengah, Enzo Fernandez, pemenang Piala Dunia bersama Argentina yang dijual kepada Chelsea bulan lalu.

Benfica nyata terlalu kuat buat Club Brugge yang hanya menang sekali dalam lapan penampilan sejak bekas pemain tengah England, Scott Parker dilantik sebagai jurulatih mereka pada penghujung Disember.

“Secara normal kalah 2-0 bukanlah sesuatu yang anda boleh gembira, tapi saya lihat banyak perkara positif dalam perlawanan ini,” kata Parker.



“Saya amat bangga dengan pasukan. Selepas lima minggu melatih mereka, saya akhirnya melihat apa yang saya mahukan. Tapi kesilapan kecil membuatkan kami kalah malam ini.”

AFP




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading