Demi isteriku…
Seremban: Meskipun lumpuh separuh badan sehingga sukar bergerak, lelaki ini tetap setia disamping isteri yang kini mengalami trauma dan hilang memori sejak 2019.
Pasangan ini terus diduga apabila hilang punca pendapatan selepas Mat Izam Mohd Kalam, 60, terpaksa berhenti bekerja selain perlu memberi tumpuan terhadap isteri, Helyati Tayalis, 56.
Mereka kini hanya mengharapkan ihsan pihak masjid, jiran dan kakak kepada Helyati bagi meneruskan kehidupan selepas wang simpanan kini susut, malah terpaksa menjual kenderaan.
Mat Izam berkata, semuanya bermula pada Oktober 2019 apabila isterinya terjatuh di rumah sewa mereka di Kuala Selangor, Selangor, yang menyebabkan kerosakan pada otak.
“Pada hari kejadian saya keluar bekerja seperti biasa. Kira-kira jam 1 tengah hari, isteri tidak membalas mesej saya dan mulai rasa tidak sedap hati.
“Ketika pulang jam 5 petang, saya mengetuk pintu namun tidak dijawab sebelum saya memecahkan pintu dan mendapati isteri sudah terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Telawi, di sini.
Mat Izam berkata, isterinya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh sebelum doktor memaklumkan berlaku keretakan pada tengkorak, terdapat darah beku dalam otak dan perlu menjalani pembedahan.
“Doktor memaklumkan supaya berehat sementara menunggu pembedahan selesai. Ketika dikejutkan doktor jam 3 pagi, secara tiba-tiba tangan kiri saya tidak boleh diangkat.
“Saya cuba berdiri, namun kaki kiri juga lemah dan terjatuh. Tapi memikirkan keadaan isteri yang sedang bertarung nyawa, saya mengheret badan saya untuk menjenguk isteri.
“Isteri dirawat di hospital berkenaan selama tiga bulan dan dalam jangka masa itu, saya berkampung di satu wakaf di hospital itu dalam keadaan badan sebelah lumpuh.
“Dalam tempoh itu juga majikan masih membenarkan saya bekerja dengan melakukan kerja ringan, namun saya banyak mengambil cuti sebelum kami balik Seremban dan saya mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ),” katanya.
Mat Izam yang kini menetap di Taman Seri Telawi berkata, isterinya mengalami trauma dan hilang memori, malah tidak dapat bercakap dan berfikir dengan normal seperti sebelum ini.
“Isteri juga tidak dapat berdiri lama disebabkan kejadian itu. Kakinya akan menggigil jika berjalan atau berdiri lama dan kini mempunyai kad orang kurang upaya (OKU).
“Saya terpaksa berhenti kerja kerana perlu memberi tumpuan kepada isteri. Saya perlu urus untuk memandikannya, menguruskan makan minumnya dan membantu jalani fisioterapi.
“Disebabkan keadaan ini, saya terpaksa menjual empat kereta bagi menampung kos perbelanjaan, malah saya sendiri kini tidak boleh memandu. Saya boleh berjalan dan berdiri, namun tidak seperti orang normal,” katanya.
Bagaimanapun, Mat Izam berkata, perkara yang amat dikesalkan apabila dia disahkan tidak layak mendapat faedah pencen ilat yang dimohon di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak 2019.
“Jemaah doktor yang menilai saya memaklumkan saya tidak layak. Malah, saya membuat rayuan, namun sehingga kini belum mendapat keputusan.
“Saya bukan meminta sedekah, saya mahu hak saya sebagai pencarum. Selama bekerja saya mencarum namun kesal dengan Perkeso kerana pencen ilat itu sekurang-kurangnya membantu meringankan beban.
“Cukai taksiran dan bil pembentungan kini sudah tertunggak. Bagaimanapun saya bernasib baik kerana jiran, pihak masjid serta kakak ipar banyak membantu, malah pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) ada datang ziarah baru-baru ini,” katanya.
METRO