Rashford sekali lagi muncul wira United

MANCHESTER: Erik ten Hag berkata Marcus Rashford membantu Manchester United bangkit daripada permulaan yang teruk apabila penyerang England itu meledak dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Leicester.

Rashford menjadi kunci kepada prestasi cemerlang United di bawah kendalian Ten Hag pada musim pertamanya di Old Trafford, dan sekali lagi dia ternyata terlalu licik untuk dihalang benteng Leicester.

“Leicester bermain cemerlang di babak pertama, tetapi pada masa sama kami bermula dengan teruk sekali. Kami tidak tersusun, tidak berdisiplin. Hanya David de Gea memastikan kami tidak dibolosi.



“Kami perbetulkan beberapa perkara dan di babak kedua sangat cemerlang. Ia cara yang saya mahu lihat pasukan ini bermain,” kata Ten Hag.

Rashford sudah meledak 24 kali dalan semua pertandingan untuk United musim ini, jumlah tertinggi pernah dicapainya dalam satu musim.

16 daripada jaringannya hadir dalam 17 penampilan sejak dia kembali dari Piala Dunia Qatar pada Disember.

Pemain 25 tahun itu juga menjadi pemain United pertama menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan liga berturut-turut di laman sendiri sejak Wayne Rooney pada tahun 2010.



MANCHESTER, ENGLAND – FEBRUARY 19: Marcus Rashford of Manchester United celebrates scoring their first goal during the Premier League match between Manchester United and Leicester City at Old Trafford on February 19, 2023 in Manchester, England. (Photo by Matthew Peters/Manchester United via Getty Images)

Rashford mengharungi tempoh sukar sebelum kedatangan Ten Hag musim lalu, sehingga timbul spekulasi yang penyerang itu mungkin akan meninggalkan Old Trafford.

Kini Rashford adalah pemain paling berpengaruh di United selepas dia kembali mendapatkan sentuhan yang menjadikannya pemain remaja sensasi sebelum ini.

United kini berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, hanya lima mata di belakang pendahulu, Arsenal, selepas kemenangan ketiga dalam empat perlawanan terakhir.

Ten Hag bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi untuk mengejar Arsenal, yang bermain kurang satu perlawanan berbanding United.



“Kami tidak memikirkan tentang perebutan kejuaraan. Kami hanya memikirkan tentang perlawanan seterusnya,” katanya.

United kemarau kejuaraan utama sejak tahun 2017, di mana mereka memenangi Piala Liga dan Liga Europa, manakala gelaran Liga Perdana Inggeris terakhir mereka hadir hanya 10 tahun lalu.

United mempunyai peluang untuk mengakhiri kemarau itu musim ini, apabila melayan kunjungan Barcelona dalam aksi timbal balik play-off Liga Europa pada Khamis sebelum menentang Newcastle pada final Piala Liga tiga hari kemudian.

United turut mara ke pusingan kelima Piala FA, di mana mereka akan menentang West Ham bulan depan.



De Gea menyelamatkan percubaan Harvey Barnes dan Kelechi Iheanacho di awal permainan. Aksi cemerlangnya meletakkan penjaga gol itu setanding dengan Peter Schmeichel yang memegang rekod 180 perlawanan tanpa bolos untuk kelab.

Rashford meletakkan United di depan dengan jaringan minit ke-25 dan menggandakan kedudukan pada minit ke-56. Jadon Sancho memastikan kemenangan lima minit kemudian.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button