Pavilion Bukit Jalil semakin hampir dijual pada harga RM2.2 bilion

KUALA LUMPUR: Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) mengeluarkan pekeliling untuk mendapatkan kelulusan daripada pemegang unit tidak berkepentingan bagi pengambilalihan Pavilion Bukit Jalil (PBJ Mall) pada harga RM2.2 bilion.

Cadangan pengambilalihan itu akan dibincangkan pada mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan pada 22 Mac 2023, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Cadangan pengambilalihan PBJ Mall sejajar dengan strategi Paviion REIT untuk mengembangkan portfolio aset peruncitan perdana di Malaysia kepada enam daripada portfolio sedia ada yang terdiri daripada Pavilion Kuala Lumpur Mall, Elite Pavilion Mall, Intermark Mall, DA MEN Mall and Pavilion Tower,” tambahnya.



Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management Sdn Bhd, Datuk Philip Ho, berkata pengambilihan itu adalah akretif kepada pendapatan boleh diagih REIT dan akan memberikan impak yang baik kepada portfolio keseluruhan serta pengembangan masa hadapan.

“Pengambilalihan PBJ Mall dijangka menyumbang secara positif kepada pertumbuhan masa hadapan Pavilion REIT, memperluaskan asas portfolio kepada RM8.3 bilion daripada RM6 bilion sebelum ini,” kata Ho.

Pavilion REIT Management adalah pengurus Pavilion REIT.

Untuk rekod, MTrustee Bhd, pemegang amanah Pavilion REIT telah memeteai perjanjian jual dan beli bersyarat untuk mengambil alih PBJ Mall dengan semua aset dan hak berkaitan daripada Regal Path Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Malton Bhd, pada harga RM2.2 bilion.



Sejak enam bulan lalu, PBJ Mall merekodkan purata 1.4 juta pengunjung setiap bulan dan setakat 28 Februari 2023, kadar penyewaan adalah kira-kira 81.4 peratus.

-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button