Ronaldo buat pakar pemakanan Al-Nassr kagum

RIYADH: Cristiano Ronaldo mengejutkan dunia apabila dia mendedahkan destinasi berikutnya dalam bola sepak kelab selepas meninggalkan Manchester United tanpa mengucapkan selamat tinggal.

Berbanding menyertai kelab di Eropah, legenda Portugal itu sebaliknya menyertai kelab Arab Saudi, Al-Nassr dengan gaji yang dilaporkan 200 juta euro (RM945 juta) setahun dengan kontrak dua setengah tahun, sekali gus menjadikannya pemain dengan bayaran gaji paling lumayan sepanjang zaman.

Ronaldo sering dikenali sebagai spesimen bagi kemuncak kecergasan fizikal.

Penyerang itu berusia 38 tahun sekarang dan dalam usianya, ketika kebanyakan pemain bola sepak lebih memikirkan untuk bersara, dia masih terus menjaringkan gol dari bahagian kiri, kanan dan tengah selain melakukan larian di segenap penjuru padang.

Sejak menyertai kelab itu, Ronaldo juga memberi impak besar kepada tahap kecergasan pemain Al-Nassr.

Pakar pemakanan kelab itu Jose Blesa mendedahkan beliau tidak pernah melihat tahap kecergasan pemain bertambah baik dalam tempoh yang singkat sejak Ronaldo menyertai kelab itu.

“Sejak dia berada di sini, semua pemain berlatih lebih keras dan mengikut diet yang lebih ketat… Saya tidak pernah melihat kelab seperti ini yang mana pemain bertambah baik hampir 90 peratus dalam komposisi badan mereka: mempunyai kurang lemak, lebih otot dan mereka melakukan setiap latihan di hujung jari mereka. Amat menyeronokkan bekerja di kelab itu,” kata Blesa dalam satu temubual dengan akhbar Sepanyol, Ideal.

Blesa berkata, Ronaldo sentiasa memakai cincin dan gelang pintar untuk memantau tahap kecergasannya.

“Setiap perbualan dengannya satu pembelajaran. Kami bertemu dan bercakap mengenai dietnya, tentang bagaimana dia memahami kepentingan diet dan rehat untuk meningkatkan prestasi. Dia memakai dua parameter rehat: cincin dan gelang.

“Cincin pintar direka untuk memantau waktu tidur dan aktiviti fizikal. Ia secara automatik mengesan apabila pemakai sedang tidur atau bergerak. Ia mengukur kadar denyutan jantung, kadar pernafasan, suhu badan dan pergerakan,” dedahnya.

Pakar pemakanan kelab itu juga berkata, Ronaldo adalah pemain pertama yang memasuki pusat latihan dan yang terakhir meninggalkannya, sekali gus membuktikan dedikasinya terhadap sukan itu.

“Cristiano banyak membantu saya, kerana kami tidak boleh lagi mengajarnya apa-apa, tetapi dia mewujudkan sekolah di sekelilingnya. Selebihnya pemain melakukan apa yang dia lakukan kerana semua yang dia lakukan adalah hebat untuk meningkatkan prestasi. Sejak dia berada di sini, semua pemain berlatih dengan lebih gigih dan menuruti diet pemakanan yang lebih ketat,” katanya.

“Dia adalah yang pertama tiba di pusat latihan dan yang terakhir keluar. Berurusan dengannya amat menyeronokkan,” jelas Blesa.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker