Ten Hag minta bantuan Ferguson hadapi Barca

LONDON: Erik ten Hag bertemu dengan Alex Ferguson menjelang perlawanan penting antara Manchester United dan Barcelona dalam aksi Liga Europa esok.

Selepas kemenangan 3-0 ke atas Leicester City, Ten Hag melaungkan kepada penyokong di Stretford End yang dia memerlukan bantuan mereka untuk aksi menentang Barcelona.

Kini pengendali United itu berjumpa bekas pengendali legenda kelab, Ferguson untuk perkara yang sama.



Ferguson cukup mengagumi Ten Hag dan apa yang dilakukannya untuk kelab sejak mengambil alih United pada musim panas lalu.

Dia percaya pengendali dari Belanda itu berjaya mengawal pasukan dan membawa mereka memburu empat kejuaraan musim ini.

Ferguson, yang memenangi treble bersama United pada tahun 1999, dilihat membincangkan sesuatu dengan Ten Hag ketika makan malam di salah sebuah restoran di Wilmslow.

Ten Hag berjaya melonjak United untuk persaingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris, mara ke pusingan kelima Piala FA, dan menentang Newcastle pada final Piala Liga Ahad ini untuk peluang menjulang trofi pertama mereka sejak tahun 2017.



Bagaimanapun ujian terbesar United dan Ten Hag ialah menentang pendahulu La Liga, Barcelona bagi merebut tempat ke pusingan 16 terakhir Liga Europa.

Pada aksi pertama play-off di Nou Camp minggu lalu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 dan aksi timbal balik akan berlangsung di Old Trafford.

Kali terakhir United menewaskan Barcelona ialah ketika di bawah bimbingan Ferguson, 1-0 pada separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah 2008 selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama di Nou Camp.

Mereka kemudian muncul juara selepas menewaskan Chelsea menerusi penentuan penalti pada final untuk trofi terakhir daripada tiga Kejuaraan Eropah dalam koleksi United.



Namun selepas itu, Barcelona di bawah bimbingan Pep Guardiola, kini bersama Manchester City, menewaskan anak buah Ferguson 2-0 pada final tahun berikutnya dan 3-1 pada final 2011.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button