‘Luahan rasa’ 350 doktor

Putrajaya: Isu doktor pelatih, kriteria pemilihan doktor untuk jawatan tetap dan pemerkasaan fasiliti hospital antara yang diluahkan oleh kira-kira 350 doktor kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam sesi dialog di sini hari ini.

Pada sesi dialog lebih dua jam itu yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni serta Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr R Muruga Raj, para doktor berkenaan mengambil peluang meluahkan permasalahan mereka secara langsung kepada Dr Zaliha.

Dr B Abirami dari Hospital Shah Alam ketika ditemui selepas sesi berkenaan berkata perbincangan bukan sahaja menyentuh mengenai isu doktor kontrak, malah bagi perjawatan tetap contohnya masalah yang dihadapi sesetengah doktor pakar.



“Apa juga perkara yang kami tanyakan sama ada mengenai doktor kontrak atau fasiliti KKM, kami diberitahu bahawa ia bergantung kepada belanjawan yang akan dibentangkan Jumaat ini. Kami berharap ia adalah belanjawan yang baik untuk sektor kesihatan,” katanya.

Dr Nurul Qashira Mohd Izlan adalah doktor pelatih di Hospital Kuala Lumpur, berkata Dr Zaliha memberi jaminan bahawa kriteria bagi mengisi perjawatan tetap akan diperhalusi.

“Beliau mahu menjadikannya lebih telus dan mereka sedang berusaha ke arah itu. Kami difahamkan segala isu berbangkit bagaimanapun bergantung kepada belanjawan yang akan diumumkan kelak,” katanya.



Dr Mohamad Firdaus Omar dari Hospital Melaka iaitu seorang doktor tetap pula berkata isu buli dalam kalangan doktor turut diutarakan dan Dr Zaliha memberi jaminan bahawa isu tersebut antara permasalahan yang akan diselesaikan dengan kadar segera.

Sementara itu, menurut kenyataan pejabat Menteri Kesihatan yang dikeluarkan selepas sesi berkenaan, Dr Zaliha menghargai dan menghormati pandangan serta maklum balas yang diperoleh dan berdasarkan semua cadangan tersebut, beliau akan berusaha menangani isu sama ada dari segi polisi atau teknikal yang membabitkan KKM.

Menurut kenyataan itu, Dr Zaliha turut memberi jaminan tiada doktor yang hadir ke sesi berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button