Tak puas seks, punca suami kahwin lagi

KUALA LUMPUR: Kemanisan dalam rumah tangga perlu disemai setiap hari bagi mengelakkan timbul perasaan curiga, bosan dan hambar dengan pasangan.

Memahami karakter pasangan antara kunci utama memupuk persefahaman sekali gus mampu mengelak perceraian.

Malangnya, ada pasangan yang alpa dan tidak peka mengenai perkara itu sehingga mencetuskan pergaduhan berpanjangan, selain ada memilih untuk memasang ‘skandal’ atau berkahwin dua secara senyap-senyap.

Perunding motivasi dan kaunseling, Hushim Salleh, berkata setiap pasangan suami isteri perlu berusaha mengenal dan mendalami bukan sahaja karakter tetapi kehendak serta apa yang disukainya.

Berdasarkan kes dikendalikannya, Hushim berkata, suami dengan karakter agak ‘introvert’ lebih banyak memendam perasaan.

Ini menyebabkan ada isteri yang menyangka pasangan mereka dalam keadaan baik, sedangkan realitinya ada yang memilih cara lain bagi meluahkan perasaan.

“Apabila hati lelaki ini tak dipeduli, akhirnya ini yang menyebabkan, ada yang terjebak dengan skandal misalnya hubungan cinta dengan rakan sekerja, berkahwin secara senyap atau menonton video lucah untuk memuaskan nafsu.

“Disebabkan itu solusi terbaik adalah komunikasi. Perkara ini paling penting, contohnya jika sudah tiga atau empat hari tidak bersama, isteri ambillah peranan untuk tanya kepada suami.

“Macam mana orang perempuan jamu suami untuk makan, begitu jugalah perlu ambil berat dalam soal hubungan intim.

“Lelaki ini nafsunya sentiasa ke depan berbanding wanita. Jangan terkejut, lelaki berusia 60-an pun masih ada keperluan seks,” katanya.

Hubungan intim dingin

Justeru, wanita perlu memainkan peranan sebagai isteri dan melayani suami sebaiknya.

“Usahlah tidak endahkan perasaan suami yang pastinya mahukan kemesraan dalam rumah tangga.

“Perkara ini tak boleh dibawa main kerana jika suami dah kahwin lain secara diam-diam, di sinilah konflik bermula dan ada isteri yang ketika itu barulah angau tak tentu hala,” katanya.

Menyentuh pilihan suami untuk berpoligami, jelasnya, hasil pemerhatiannya menerusi sesi kaunseling, ramai lelaki memilih berkahwin lagi kerana tidak mendapat kepuasan dalam hubungan intim dengan isteri.

“Ramai perempuan yang labelkan suami mereka gatal apabila ada yang berkahwin lagi biasanya secara senyap-senyap.

“Berdasarkan hasil perbincangan dari hati ke hati dengan golongan suami, mereka memberitahu hubungan seks yang dingin dalam rumah tangga mendorong keputusan untuk berkahwin lagi.

“Sebab itu walaupun hal ini dianggap sensitif dalam kalangan masyarakat, saya selalu tekankan terutama kepada wanita jangan ambil mudah soal layanan yang diberikan kepada suami. Pertama, layanan dari segi makan dan minum mereka, kedua dari segi hubungan kelamin,” katanya.

Isteri sibuk urus anak, suami inginkan kemesraan

Tambahnya, biasanya isu ini timbul dalam kalangan pasangan berusia 40-an ke atas.

Si isteri biasanya tidak lagi fokus terhadap hubungan seks kerana sibuk dengan tuntutan kerjaya dan menguruskan anak-anak yang sedang membesar, sedangkan suami pula masih inginkan kemesraan seperti dahulu.

“Dalam hal ini, tak dinafikan, ada isteri yang beritahu penat seharian bekerja, balik pula ambil anak dari pusat jagaan, suapkan dan jaga sehingga mereka tidur.

“Namun, saya melihat perlu ada keseimbangan. Jika penat, beritahu suami, bincang secara baik. Usahlah layan asal boleh kerana perkara ini yang boleh menggugat hubungan rumah tangga tanpa kita sedar,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker