Ramos bersara kerana terpaksa

Barcelona: Sergio Ramos mengumumkan persaraan dari arena antarabangsa bersama skuad Sepanyol dengan jurulatih baru negara itu Luis de la Fuente dikatakan menjadi punca apabila memaklumkan Ramos tidak lagi diperlukan dalam pasukan kebangsaan.

Pemain pertahanan Paris Saint-Germain itu, yang memenangi Piala Dunia 2010 dan Kejohanan Eropah 2008 dan 2012 bersama La Roja, kali terakhir bermain untuk Sepanyol pada Mac 2021.

Ramos, yang berusia 37 tahun pada Mac ini dalam surat terbuka di media sosial memaklumkan jurulatih baharu itu mendorongnya membuat keputusan itu.



“Masanya sudah tiba, masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kebangsaan, Roja yang dikasihi dan mengujakan kami,” tulis Ramos.

“Pagi ini saya menerima panggilan daripada jurulatih sekarang yang memberitahu saya bahawa dia tidak akan bergantung kepada saya, tidak kira apa yang boleh saya tunjukkan atau bagaimana saya meneruskan kerjaya saya.

“Dengan penuh kesedihan, ia adalah pengakhiran perjalanan yang saya harapkan akan lebih panjang dan berakhir dengan rasa lebih baik pada kemuncak semua kejayaan yang kami capai dengan Roja kami.”



Ramos bermain 180 kali untuk Sepanyol, membuat lebih banyak penampilan berbanding pemain lain dalam sejarah negara itu.

Walaupun sudah pulih daripada kecederaan dan kembali bersama PSG, Luis Enrique tidak memanggilnya untuk ke Piala Dunia Qatar 2022.

De la Fuente menggantikan Luis Enrique pada Disember selepas Sepanyol tersingkir daripada Piala Dunia menentang Maghribi dalam pusingan 16 terakhir.

Perlawanan seterusnya Sepanyol adalah kelayakan untuk Euro 2024 pada Mac menentang Norway dan Scotland.



“Saya dengan rendah hati percaya bahawa kerjaya ini patut ditamatkan kerana keputusan peribadi atau kerana prestasi saya tidak sesuai dengan apa yang sepatutnya pasukan kebangsaan tuntut tetapi bukan kerana usia saya atau sebab yang lain,” sambung Ramos.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button