Pantai Port Dickson suram angkara khemah ganggu pelancong
PORT DICKSON: Musim cuti persekolahan kali ini, disifatkan paling suram oleh peniaga sekitar bandar peranginan ini, berikutan kekurangan pengunjung yang datang beriadah sekitar pantai di sini, sejak seminggu lalu.
Tinjauan mendapati, banyak kawasan parkir kereta yang kosong dan keadaan sekitar pantai tidak dipenuhi orang ramai berbanding kebiasaan ketika cuti sekolah sebelum ini.
Peniaga baju dan barang makanan, Hamidah Mohamad, 46, mengakui sepanjang cuti persekolahan sejak seminggu lalu, dia dan peniaga yang lain sangat terkesan kerana kurang dikunjungi pengunjung malah jualannya juga agak teruk.
“Masih ada pengunjung yang datang tetapi tidak seperti tahun-tahun sebelum ini yang mana kalau mereka datang pun adalah untuk mandi laut bukan untuk membeli baju atau pakaian.
“Sebelum ini saya hanya menjual baju sahaja tetapi kali ini terpaksa menjual sedikit makanan bagi menambah pendapatan, namun hasilnya masih tidak memberangsangkan,” katanya.
Pengendali kemudahan bot laju yang hanya mahu dikenali sebagai Bob, berkata pengunjung hanya turun mandi dan tidak berminat menaiki bot laju atau banana bot.
“Ada antara mereka berkata tidak mampu kerana kos hidup semakin tinggi menyebabkan mereka yang datang hanya untuk mandi laut sahaja.
“Memang kami peniaga tidak mampu menurunkan harga kerana kos pengendalian bot juga meningkatkan tetapi kita tidak boleh buat apa-apa malah berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung pantai,” ujar bapa kepada lima anak ini.
Peniaga makanan, Aisyah Ali, 40, berkata, cuti panjang kali ini memang terasa kekurangan pengunjung.
“Saya pun tidak pasti adakah orang kurang datang ke Port Dickson atau sibuk membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka yang menyebabkan terasa kurang pengunjung.
“Sedih juga sebab sebelum sepanjang kawasan pantai penuh dengan orang ramai tetapi ia tidak berlaku kali ini malah jalan juga tidak sesak seperti selalu di musim cuti persekolahan,” katanya.
Sementara itu, suri rumah, Aini Abdullah, 39, dari Kuala Lumpur, berkata pantai Port Dickson perlu lebih menarik agar menjadi pilihan pengunjung.
“Dalam keadaan ekonomi yang agak kritikal ketika ini, sepatutnya Port Dickson lebih ‘mesra’ pengunjung dan bukan menekan orang ramai yang mahu beriadah secara percuma tetapi terpaksa mengeluarkan belanja lebih semata-mata untuk mandi laut.
“Mungkin ini antara sebab orang kurang datang ke sini kerana peniaga ‘tidak mesra’ orang ramai yang mahu beriadah bersama keluarga, bukannya melihat khemah yang banyak hingga tak nampak laut,” katanya.
BHOnline