Nyawa ayah jadi galang ganti

Kemaman: “Suami kelihatan tercungap-cungap dan seperti tiada tenaga untuk mengangkat anak,” kata Haryati Sulaiman menceritakan saat cemas sebelum suaminya tenggelam ke dasar sungai.

Suaminya, Mohd Mirwan Mohd Remli, 40, ketika itu sedang berusaha menyelamatkan anaknya, Muhammad Zafran Aidil, 12, yang dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Lubuk Tapeng, Air Putih, Kemaman, jam 1.45 tengah hari semalam.

Haryati, 36, berkata, sebelum kejadian, dia dan suaminya bersama dua lagi anak berusia tujuh dan 15 tahun berkelah di situ jam 9.30 pagi.



“Kami sekeluarga sering dibawa suami berkelah kerana suami gemar memancing dan ketika kejadian, saya dan suami memancing di darat sementara tiga anak mandi tidak jauh dari kami.

“Mereka bertiga mandi di kawasan air yang cetek dan secara tiba-tiba Muhammad Zafran dibawa arus hanyut ke tengah sungai,” katanya.

Katanya, Zafrah yang hanyut dalam keadaan tenggelam timbul sempat menjerit beberapa kali nama bapa dan keadaan itu menyebabkan Mohd Mirwan bertindak terjun dan berenang menyelamatkan anaknya itu.



“Suami sudah mendapatkan Muhammad Zafran namun dia seperti tiada upaya untuk mengangkat anak sebelum dia tenggelam.

“Muhammad Zafran ketika itu terus dibawa arus namun berjaya mengapungkan diri sebelum berpaut pada dahan pokok di situ,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu terus menjerit meminta tolong dan keadaan itu didengari penduduk yang tinggal di belakang sungai terbabit sebelum berjaya menyelamatkan anaknya.

“Saya kemudiannya bertindak mendapatkan pertolongan daripada penduduk kampung namun usaha mencari suami gagal kerana dia sudah tenggelam.



“Saya sangat sedih dengan kejadian yang berlaku itu namun bersyukur anak berjaya diselamatkan penduduk kampung,” katanya.

Katanya, dia sangat berharap kepada pihak berkuasa supaya dapat menjumpai suaminya itu dan bersedia menerima keputusan yang menyedihkan.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hafiezul Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa disambung kira-kira jam 8 pagi ini.

Menurutnya, seramai 20 anggota dari balai Bomba Cheneh dan Chukai, 13 anggota polis dengan bantuan anggota daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM,) Rela dan penduduk kampung terbabit dalam operasi itu.



“Kita juga mendapatkan khidmat dua anjing pengesan K9 dari Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur bagi membantu operasi pencarian.

“Setakat ini usaha pencarian masih belum berhasil dan pasukan penyelamat turut memperluaskan kawasan pencarian sekitar 500 meter daripada lokasi mangsa dikhuatiri lemas,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button